Ahad, 15 Mei 2022 | 12:46pm
Atlet negara, Muhammad Arsyad Md Saat (depan) dan Jonathan Nyepa beraksi ketika acara 200 meter lelaki akhir pada Sukan SEA 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi semalam. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Atlet negara, Muhammad Arsyad Md Saat (depan) dan Jonathan Nyepa beraksi ketika acara 200 meter lelaki akhir pada Sukan SEA 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi semalam. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Firasat Arsyad

HANOI: Naluri atlet pecut negara yang sedang meningkat naik, Muhammad Arsyad Md Saat kuat menyatakan yang gandingan kuartet 4x100 meter (m) lelaki Sukan SEA Vietnam 2021 bakal menyumbang pingat di Stadium My Dinh, esok.

Walaupun belum pasti warna pingat bakal diperoleh, Arsyad yang membuat penampilan kali pertama di temasya dwitahunan itu percaya gandingan yang turut disertai Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Jonathan Nyepa bakal membuahkan hasil.

"Masa sesi latihan sebelum ini, kami nampak peluang untuk meraih pingat itu ada tetapi warnanya tidak tahu lagi," kata Arsyad.

"InsyaAllah akan cuba yang terbaik bersama rakan yang lain. Kami akan berusaha yang terbaik untuk negara."

Di temasya Filipina 2019, kuartet 4x100m yang disertai Nixson Kennedy, Haiqal, Khairul Hafiz Jantan dan Russel Alexander Nasir Taib meraih perak dengan catatan 39.78 saat (s).

Pingat emas dimenangi Thailand yang disertai Ruttanapon Sowan, Bandit Chuangchai, Jirapong Meenapra dan Siripol Punpa yang mencatat 39.27s manakala Filipina (Anfernee Lopena, Clinton Bautista, Francis Medina dan Eric Cray) meraih gangsa.

"Saya nampak yang peluang itu cerah (meraih pingat) namun tekanan itu tetap ada. Apapun, kami perlu bijak meneutralkan semula perasaan itu dan sentiasa berfikir positif untuk meraih kejayaan," katanya.

Semalam, Arsyad menamatkan acara final 200m lelaki dengan berada di tempat keempat keseluruhan dengan mencatat masa 20.95s.

Catatannya itu sekali gus memperbaiki catatan rekod peribadinya selepas mencatat 21.20s pada aksi saringan di sebelah pagi.

Selain acara 200m dan 4x100m, atlet dari Johor itu turut disenaraikan untuk menyertai acara 100m yang dijadual berlangsung Rabu ini.

Berita Harian X