Jumaat, 13 Mei 2022 | 6:19pm
Gambar fail - Atlet baling tukul besi, Jackie Wong. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Gambar fail - Atlet baling tukul besi, Jackie Wong. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

Jackie sudah sedia gegar Stadium Nasional My Dinh

HANOI: Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong sedia melepaskan segala bebanan di fikirannya apabila turun berentap pada aksi final di Stadium Nasional My Dinh di sini, esok selepas acaranya diberi lampu hijau untuk dipertandingkan di Sukan SEA 2021.

Dua minggu lalu, acara baling tukul besi lelaki dan lontar peluru wanita dibatalkan susulan tidak cukup jumlah penyertaan tetapi dimasukkan semula selepas diluluskan pada mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di sini, semalam.

Mengikut peraturan SEAGF, setiap acara perlu mendapatkan penyertaan minimum tiga negara dan sekiranya gagal acara itu terpaksa dibatalkan.

Menurut Jackie, dia tidak berhenti menjalani latihan meskipun dimaklumkan pada dua minggu lalu acaranya kemungkinan dibatalkan.

"Memang teruja bila dimaklumkan semalam acara saya akan dipertandingkan. Dua minggu lalu saya amat kecewa dan menganggap latihan selama ini hanya sia-sia kerana acara saya kemungkinan dibatalkan.

"Tetapi dengan dorongan jurulatih, saya tetap meneruskan latihan sejak minggu lalu tanpa henti kerana sudah tiga tahun saya tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif dan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya.

"Dengan kebenaran ini, saya akan lakukan terbaik untuk menebus semula kekecewaan saya ketika di Filipina apabila hanya mampu meraih pingat perak," katanya.

Ketika ditanya mengenai pencabarnya, atlet berusia 30 tahun itu tetap menamakan jaguh Thailand, Kittipong Boonmawan sebagai pesaingnya apabila pada edisi 2019 di Filipina, dia tewas.

"Pastinya cabaran sebenar ialah Kittipong kerana di Filipina dia meraih emas dan saya perak. Menjelang perlawanan esok, saya serahkan kepada tuhan untuk membantu saya mencipta kejutan di bumi Hanoi," katanya.

Berita Harian X