Khamis, 12 Mei 2022 | 8:19pm
Josephine Mary (kanan) dan Samson Vallabouy (dua kanan) mewakili anaknya, Shereen menerima cek daripada Pengerusi Better Malaysia Foundation (BMF),Tan Sri Vincent Tan (dua kiri) dan Timbalan Pengerusi BMF, Datin Seri Sunita Rajakumar di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA.
Josephine Mary (kanan) dan Samson Vallabouy (dua kanan) mewakili anaknya, Shereen menerima cek daripada Pengerusi Better Malaysia Foundation (BMF),Tan Sri Vincent Tan (dua kiri) dan Timbalan Pengerusi BMF, Datin Seri Sunita Rajakumar di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA.

Shereen harap layak ke Sukan Komanwel, kejohanan dunia

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy berharap dapat melayakkan diri ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Kejohanan Olahraga Dunia di Oregon 2022, dengan kedua-dua kejohanan akan berlangsung pada Julai.

Shereen yang juga anak bongsu kepada bekas bintang olahraga negara, Samson Vallabouy dan Josephine Mary Singarayar, berkata beliau kini berlatih bersama jurulatihnya dan rakan sepasukan untuk memastikan dia berada pada tahap terbaik.

"Buat masa ini, sasaran saya adalah untuk terus berlatih dan saya ingin mara ke Sukan Komanwel dan Kejohanan Dunia... semoga saya layak ke salah satu kejohanan berkenaan.

"Sebenarnya, saya sudah layak ke Sukan Asia Hangzhou 2022 di China pada September tetapi malangnya, kejohanan itu telah ditangguhkan ke 2023 berikutan peningkatan kes COVID-19," katanya pada sidang media secara maya pada majlis Better Malaysia Foundation ( BMF) di Berjaya Times Square di sini hari ini.

BMF hari ini mengumumkan sumbangan sebanyak AS$52,000 (RM228,098) untuk menampung perbelanjaan hidup Shereen sepanjang pengajiannya di Winona State University di Minnesota, Amerika Syarikat.

Shereen akan menerima AS$2,600 (RM11,404) sebulan mulai bulan ini hingga Disember 2023, dan beliau yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang rekreasi dan pelancongan, kini menerima biasiswa olahraga dari universiti itu.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi BMF, Tan Sri Vincent Tan berkata beliau amat bangga dengan pencapaian Shereen dan mengagumi semangatnya untuk menjadi atlet wanita Malaysia pertama layak ke acara 400 meter (m) pada Sukan Olimpik Paris 2024.

"Dengan semangat juang yang tinggi dalam dirinya (Shereen), adalah amat mendukacitakan dia (Shereen) dan ibu bapanya terpaksa melalui begitu banyak kepayahan untuk membiayai kos sara hidupnya untuk melanjutkan pelajaran di AS.

"Saya berharap sumbangan ini dapat mengurangkan beban kewangannya supaya dia dapat memberi tumpuan kepada latihan dan pertandingan yang akan datang," katanya.

Pada 12 Mac, Shereen memenangi emas perlumbaan 400m wanita dalam dewan di kejohanan NCAA Division II yang diadakan di Pittsburgh State University dengan catatan masa 53.79 saat, sekali gus memecahkan rekod 12 tahun Northern Sun Intercollegiate Conference.

Catatan masa Shereen itu, bukan sahaja melepasi rekod terbaik peribadinya 54.94s tetapi juga memecahkan rekod 16 tahun nasional dalam dewan 54.58s yang dipegang oleh Noraseela Mohd Khalid.

- BERNAMA

Berita Harian X