Jumaat, 6 Mei 2022 | 8:03pm
Nazmizan optimis kem olahraga mampu jadi lubuk emas kontinjen negara di Sukan SEA Hanoi.
Nazmizan optimis kem olahraga mampu jadi lubuk emas kontinjen negara di Sukan SEA Hanoi.

Skuad olahraga mampu raih lapan emas

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh pecut kebangsaan, Nazmizan Mohamad percaya skuad olahraga mampu menjadi lubuk pingat emas kontinjen Malaysia di Sukan SEA Hanoi dengan secara peribadinya meramalkan sukan itu mampu menyumbang lapan emas.

Nazmizan berkata, biarpun Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hanya meletakkan sasaran lima emas namun dia percaya kombinasi atlet muda dan senior pada temasya kali ini mampu mencetuskan impak sekali gus mengatasi sasaran ditetapkan itu.

Katanya, selain daripada atlet senior yang sememangnya menjadi sandaran untuk memenangi emas, atlet lain seperti Andre Anura Anuar yang beraksi dalam acara lompat jauh dijangka mampu untuk melakar kejutan di Hanoi.

"Saya berharap Andre Anura boleh buat kejutan. Tiga tahun lalu (di Filipina) dia berjaya mencatatkan 8.02 meter dan memenangi perak. Mungkin pada tahun ini dia boleh bawa pulang emas.

"Bukan saja Andre Anura tetapi saya menjangkakan atlet baharu yang lain juga mampu melakukan kejutan berdasarkan prestasi semasa mereka," kata Nazmizan yang memenangi emas acara 100 dan 200m di Sukan SEA Hanoi 2003.

Olimpian negara itu berkata, kemampuan atlet senior seperti Nauraj Singh Randhawa dalam acara lompat tinggi, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Muhamad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Jackie Wong (lontar tukul besi) sudah pastinya menjadi taruhan terbaik negara bagi menghadiahkan kilauan emas.

"Namun, kita juga ada atlet pecut wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli yang baru saja pulih daripada kecederaan dan pastinya bersemangat tinggi untuk beraksi bagi acara 100 dan 200m," kata Nazmizan yang beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004 dalam acara 200m.

Berita Harian X