Jumaat, 6 Mei 2022 | 12:42pm
Hup Wei gesa pembatalan pendaftaran POS ditarik balik demi pembangunan sukan olahraga Selangor.
Hup Wei gesa pembatalan pendaftaran POS ditarik balik demi pembangunan sukan olahraga Selangor.

Hup Wei gesa menteri campur tangan

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei menggesa Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk campur tangan dan menarik balik pembatalan pendaftaran Persatuan Olahraga Selangor (POS) oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof pada 24 Mac lalu.

Hup Wei yang mengumumkan persaraannya pada hujung Mac lalu, berkata sepanjang 18 tahun sebagai atlet olahraga, konflik dalaman persatuan sukan sering berlaku namun menyifatkan situasi sekarang sudah kritikal.

Katanya, tindakan PJS membatalkan pendaftaran POS akan memberi kesan kepada atlet dan jurulatih yang bernaung di bawah badan induk itu yang menyaksikan semua program untuk mereka terbantut sekali gus menutup peluang untuk bertanding di Sukan SEA dan Sukan Malaysia (SUKMA).

"Pada 24 Mac lalu, PJS telah membatalkan pendaftaran POS. Saya mendapat tahu bahawa kes ini telah dibawa ke mahkamah. Tetapi anehnya, PJS telah pun membatalkan POS sebelum mahkamah membuat keputusan.

"Saya bukan pandai undang-undang, tetapi jika betul ada 'something fishy', ini sesuatu yang perlu diperjuangkan dan diberi perhatian serius oleh semua pemegang taruh sukan di Malaysia.

"POS sepatutnya menjadi pusat bagi membangunkan bakat atlet di peringkat akar umbi. Sebagai anak jati Kajang, saya juga bermula dengan POS.

"Malangnya POS digunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu untuk kedudukan dan wang semata-semata. Mereka langsung tidak mengambil berat tentang kebajikan atlet. Mereka sanggup melihat POS terkubur daripada kehilangan kuasa," kata Hup Wei menerusi hantaran di Facebook miliknya, semalam.

Dia yang turut menyambut ulang tahun kelahiran ke-35 semalam meluahkan kekecewaannya terhadap keadaan yang berlaku dalam arena olahraga ketika ini termasuklah isu penyenaraian atlet ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang akan bermula 12 hingga 23 Mei ini.

"Lebih kurang satu minggu lagi, Sukan SEA Hanoi akan bermula. Sukan SEA amat bermakna untuk saya kerana saya sudah mewakili negara di dalam kejohanan itu sejak 2005 di Manila dan membawa pulang 4 pingat emas. Tahun ini saya tidak mengambil bahagian.

"Banyak rakan atlet dan jurulatih yang menghubungi saya. Mereka kecewa kerana tidak dapat mewakili negara dalam Sukan SEA Hanoi. Mereka tidak dipilih bukan kerana tidak layak tetapi atas faktor-faktor dalaman persatuan sukan.

"Sukan olahraga adalah sukan yang amat saya cintai. Saya mahukan sukan ini dipelihara dari segala unsur-unsur yang boleh merosakkan masa depan sukan ini.

"Ada orang mungkin melihat sukan sekadar aktiviti riadah, ada orang melihat sukan untuk 'self mileage', ada orang lihat sukan untuk business, tapi untuk kami atlet, sukan adalah hidup kami.

"Saya tidak punya kuasa, kuasa saya hanya suara. Mohon yang berkuasa untuk membela nasib atlet dan jurulatih seperti kami. Itu sahaja permintaan saya sebagai balasan sumbangan 18 tahun saya kepada negara," katanya yang sudah mewakili negara di Sukan SEA sejak 2005 dan membawa pulang empat pingat emas.

Berita Harian X