Khamis, 5 Mei 2022 | 8:02pm
Azeem kini menduduki ranking kedua terbaik dalam acara 100 meter di Asia Tenggara. - NSTP/Fathil Asri
Azeem kini menduduki ranking kedua terbaik dalam acara 100 meter di Asia Tenggara. - NSTP/Fathil Asri

Tunggu impak Azeem di Hanoi

KUALA LUMPUR: Bintang muda, Muhammad Azeem Fahmi diyakini mampu menjadi pencabar utama bagi memburu pingat emas acara 100 meter (m) pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang akan bermula 12 hingga 23 Mei ini.

Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata walaupun ia adalah penampilan sulung atlet berusia 18 tahun itu di temasya dwitahunan berkenaan selain faktor usia yang masih muda, namun itu bukanlah penghalang untuk Azeem mencetuskan impak di Hanoi.

Katanya, berdasarkan catatan semasa, Azeem ketika ini berada di kedudukan kedua terbaik dalam kalangan pelari dari Asia Tenggara yang turut akan mengambil bahagian pada Sukan SEA ke-31 kali ini sekali gus meletakkannya di landasan tepat bagi mempertahankan emas yang dimenangi Malaysia bagi acara riben biru dalam dua temasya terakhir - Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019.

"Bagi saya, peluang (bagi memenangi emas) adalah terbuka namun ia akan menjadi persaingan yang sengit. Kita tahu Thailand mempunyai seorang atlet muda iaitu Puriphon Boonsorn yang mencatatkan 10.19 saat (s) baru-baru ini sekali gus berada di kedudukan pertama ketika ini dalam kalangan pelari yang lain.

"Azeem pula di kedudukan kedua dengan 10.37s ketika melakukan di Kuala Lumpur All-Comers (Mac lalu).

"Namun, sudah pasti cabaran atlet lain juga tidak boleh dipandang rendah terutama Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia yang mempunyai catatan peribadi 10.03s tetapi di Olimpik Tokyo tahun lalu dia mencatat 10.26s.

"Ketika di Kejohanan Dalam Dewan Dunia Mac lalu, Lalu ada mengeluarkan kenyataan yang dia mengalami kecederaan tetapi kita tidak tahu sejauh mana seriusnya kecederaannya itu. Singapura juga ada Marc Brian Louis dengan catatan terbaiknya 10.39 tetapi dia kurang konsisten dan itu dapat dilihat ketika Terbuka Singapura bulan lalu.

"Bagaimanapun, ini semua hanyalah atas kertas. Apa pun ia bergantung terhadap situasi ketika hari pertandingan dan fokus mereka sebelum memulakan aksi," katanya.

Azeem yang diberi julukan 'Usain Bolt Malaysia' diberi kepercayaan untuk beraksi dalam acara 100m di Hanoi bagi menggantikan Russel Alexander Nasir Taib yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan tisu koyak dan memerlukan masa enam hingga lapan minggu untuk kembali pulih.

Selain Azeem, cabaran negara bagi acara 100m di Hanoi kali ini turut akan digalas Muhammad Arsyad Md Saat.

Pelari kelahiran Perak itu turut akan beraksi dalam acara 4x100m bersama Arsyad, Haiqal dan Jonathan Nyepa dan Muhammad Zulfiqar Ismail.

Malaysia hadir di Hanoi dengan status sebagai juara bertahan sebanyak dua kali berturut-turut selepas Khairul Hafiz Jantan memenangi emas pada edisi 2017 sebelum Muhammad Haiqal Hanafi mempertahankannya dua tahun kemudian di Filipina.

Mengulas lanjut, Manshahar percaya status 'underdog' mampu memberi kelebihan buat Azeem seperti mana yang berlaku ke atas Khairul Hafiz dan Haiqal sebelum ini yang tidak diletakkan sebagai pilihan bagi bergelar raja pecut Asia Tenggara.

"Sebenarnya sudah banyak kejutan yang berlaku dalam kejohanan antarabangsa termasuk di Sukan Olimpik. Jadi, kita doakan yang terbaik buat Azeem," katanya.

Berita Harian X