Jumaat, 22 April 2022 | 5:22pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - Foto BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - Foto BERNAMA

Menteri dirayu campur tangan isu pembatalan POS

KUALA LUMPUR: Persatuan Olahraga Selangor (POS) merayu campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu susulan tindakan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof membatalkan pendaftaran badan induk itu.

Bekas presidennya, Norhayati Karim, berkata tindakan Ibrahim dianggap seperti tidak menghormati mahkamah ketika permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kesahihan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 12 Disember tahun lalu masih berjalan.

Katanya, kini hanya Ahmad Faizal yang mempunyai kuasa untuk membatalkan notis pembatalan pendaftaran berkenaan dengan penyertaan puluhan atlet yang bernaung di bawah POS berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) September ini.

"Satu surat permohonan pembatalan bertarikh 20 April 2022 sudah dihantar kepada menteri.

"Kami merayu kepada menteri untuk menguatkuasakan Seksyen 22 Akta Pembangunan Sukan 1997 dengan melantik Jawatankuasa Induk baharu POS sebagai jawatankusa ad hoc untuk menguruskan hal ehwal POS sementara menunggu mahkamah membuat keputusan terhadap rayuan kami supaya segala fungsi dan aktiviti POS dapat diteruskan.

"Kami merayu supaya menteri (Faizal Azumu) membuat keputusan yang adil, saksama dan suci hati terhadap rayuan kami. Ini kerana kepentingan atlet, jurulatih dan pegawai sukan olahraga di seluruh Selangor akan terjejas dengan pembatalan POS termasuklah penyertaan atlet ke SUKMA akan turut terancam," katanya dalam satu sidang media, malam tadi.

Mengulas lanjut, Norhayati, berkata pihaknya bersedia untuk membawa perkara berkenaan ke muka pengadilan sekiranya tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak kementerian.

"Sekarang ini semua keputusan di tangan menteri dan hanya menteri yang boleh meleraikan kekusutan ini. Kami yakin YB (yang berhormat) menteri akan dapat membantu meleraikan kekusutan ini dengan adil dan saksama serta suci hati.

"Kami akan terus berjuang untuk menuntut keadilan secara perundangan dengan nasihat peguam untuk mempertahankan POS sebagai persatuan tertua di Malaysia," katanya.

Isnin lalu, Ibrahim mengesahkan pendaftaran POS dibatalkan sekali gus semua pemilihan termasuk kepimpinan terdahulu badan induk itu adalah tidak sah.

Berita Harian X