Khamis, 21 April 2022 | 6:48pm
Pengarah Urusan dan CEO Ajinomoto Malaysia Berhad, Tomoharu Abe (empat dari kanan) bersama atlet Malaysia, (dari kanan) Queenie Ting Kung Ni, Norliyana Kamaruddin dan Naurah Singh Randhawa sempena sidang media Ajinomoto bekerjasama bersama atlet negara dalam Program Nutrisi Sukan untuk Sukan SEA Vietnam 2021. - Foto NSTP/Amirul Johari.
Pengarah Urusan dan CEO Ajinomoto Malaysia Berhad, Tomoharu Abe (empat dari kanan) bersama atlet Malaysia, (dari kanan) Queenie Ting Kung Ni, Norliyana Kamaruddin dan Naurah Singh Randhawa sempena sidang media Ajinomoto bekerjasama bersama atlet negara dalam Program Nutrisi Sukan untuk Sukan SEA Vietnam 2021. - Foto NSTP/Amirul Johari.

Nauraj tekad kekal dominasi Malaysia di Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa mahu mengekalkan dominasi Malaysia dalam acara itu sekali gus mempertahankan pingat emas dimenangi bekas rakan sepasukan, Lee Hup Wei pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan depan.

Hup Wei yang memenangi emas pada edisi 2019 di Filipina tidak lagi beraksi selepas mengumumkan persaraannya, bulan lalu.

Tanpa kelibat Hup Wei, tanggungjawab bagi menghadirkan kilauan emas kini digalas Nauraj yang berpangkalan di Jerman.

"Setiap kali mewakili negara saya akan memberikan segala-galanya dan begitulah juga apabila saya beraksi di Sukan SEA nanti.

"Saya sememangnya meletakkan sasaran untuk membawa pulang emas. Saya tak berminat untuk fokus kepada rekod ketinggian, hanya mahu berikan yang terbaik dan fokus 100 peratus ketika berlangsungnya kejohanan," kata ketika ditemui pada majlis tajaan Ajinomoto Malaysia Berhad dan dua atlet lain iaitu Norliyana Kamaruddin (heptatlon) serta Queenie Ting Kung Ni (lempar cakera), hari ini.

Di Filipina, Nauraj sekadar berpuas hati dengan meraih perak selepas tewas di tangan Hup Wei.

Atlet berusia 30 tahun itu mengakui akan merasai ketiadaan Hup Wei selepas sering bersamanya dalam mana-mana kejohanan termasuk Sukan SEA.

"Kami banyak menghabiskan masa bersama, pergi ke mana-mana di seluruh dunia juga bersama-sama. Semua itu hanya tinggal kenangan.

"Saya pastinya amat merinduinya sepanjang hidup saya. Walaupun Hup Wei sudah bersara, dia sentiasa menjadi sahabat baik saya," katanya.

Selain Nauraj, atlet muda, Mohamad Eizlan Dahalan yang menggantikan tempat Hup Wei turut akan beraksi di Hanoi.

Malaysia menjadi kuasa besar dalam acara lompat tinggi bermula era Loo Kum Zee pada 1995 hingga 2003 sebelum dikuasai oleh Hup Wei 2007, 2009, 2011 dan 2019 manakala Nauraj memenanginya pada edisi 2013, 2015 dan 2017.

Berita Harian X