Selasa, 19 April 2022 | 6:20pm
Nurhayati mengakui keliru dengan tindakan PJS batalkan pendaftaran POS.
Nurhayati mengakui keliru dengan tindakan PJS batalkan pendaftaran POS.

Nurhayati tidak akan berdiam diri

KUALA LUMPUR: Persatuan Olahraga Selangor (POS) yang dipimpin Nurhayati Karim tidak akan berdiam diri walaupun Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof mengesahkan pendaftaran badan sukan itu dibatalkan.

Pembatalan yang dimaklumkan secara surat menyurat pada 24 Mac lalu itu secara tidak langsung menyaksikan barisan kepimpinan yang dikemudi Nurhayati sebelum ini tidak sah.

Nurhayati bagaimanapun mengakui dia keliru mengenai tindakan PJS sedangkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung status Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) POS pada 12 Disember lalu masih berjalan.

"Kami tidak akan berdiam diri dan akan terus berjuang demi atlet dan jurulatih di Selangor," kata Nurhayati.

"Kami akan melihat apa tindakan seterusnya untuk isu ini dengan merujuk kepada Akta Pembangunan Sukan."

Semalam, Ibrahim mengesahkan pendaftaran POS dibatalkan sekali gus semua pemilihan termasuklah kepimpinan terdahulu badan induk itu adalah tidak sah dan keputusan itu dimaklumkan kepada semua pihak berkaitan menerusi surat pada 24 Mac lalu.

"Alasannya POS tidak lagi aktif dan bukan entiti yang patut atau wajar didaftarkan untuk mewakili sukannya di mana-mana negeri atau di Malaysia. Semua perkara yang berlaku sebelum ini termasuklah membabitkan pemilihan kepimpinan baharu POS sudah tiada dan ahli gabungan perlu mengadakan pemilihan kelak," kata Ibrahim.

Pada Februari lalu, Ibrahim mengesahkan AGM POS yang berlangsung 12 Disember tahun lalu tidak sah selepas mendapati proses pelaksanaan dan perjalanan mesyuarat berkenaan adalah bercanggah, atau tidak mematuhi perlembagaan persatuan itu.

Situasi itu menyaksikan pemilihan Norhayati sebagai presiden baharu POS bagi menggantikan Datuk SM Muthu dalam mesyuarat berkenaan adalah tidak sah.

Pada 24 Oktober tahun lalu, POS menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) menyingkirkan Muthu daripada jawatan presiden persatuan itu dan menarik balik keahlian seumur hidupnya berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap badan induk berkenaan.

Bagaimanapun, Muthu menegaskan beliau masih presiden POS apabila mendakwa EGM yang diadakan itu tidak mengikut perlembagaan yang ditetapkan badan induk berkenaan.

Berita Harian X