Isnin, 18 April 2022 | 9:15pm
Ibrahim sahkan pendaftaran POS sudah dibatalkan dan surat mengenainya sudah dihantar 24 Mac lalu.
Ibrahim sahkan pendaftaran POS sudah dibatalkan dan surat mengenainya sudah dihantar 24 Mac lalu.

PJS batalkan pendaftaran POS

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof mengesahkan pendaftaran Persatuan Olahraga Selangor (POS) dibatalkan sekali gus semua pemilihan termasuklah kepimpinan terdahulu badan induk itu adalah tidak sah.

Beliau berkata, keputusan itu sudah pun dimaklumkan kepada semua pihak yang berkaitan menerusi surat yang dihantar pada 24 Mac lalu.

"Alasannya adalah POS tidak lagi aktif dan bukan entiti yang patut atau wajar didaftarkan untuk mewakili sukannya di mana-mana negeri atau di Malaysia.

"Semua perkara yang berlaku sebelum ini termasuklah membabitkan pemilihan kepimpinan baharu POS sudah tiada dan ahli gabungan perlu mengadakan pemilihan kelak," katanya.

Pada Februari lalu, Ibrahim mengesahkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) POS yang berlangsung pada 12 Disember tahun lalu adalah tidak sah selepas mendapati proses pelaksanaan dan perjalanan mesyuarat berkenaan adalah bercanggah, atau tidak mematuhi perlembagaan persatuan itu.

Situasi itu menyaksikan pemilihan Norhayati Karim sebagai presiden baharu POS bagi menggantikan Datuk SM Muthu dalam mesyuarat berkenaan adalah tidak sah.

Pada 24 Oktober tahun lalu, POS menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) menyingkirkan Muthu daripada jawatan presiden persatuan itu dan menarik balik keahlian seumur hidupnya berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap badan induk berkenaan.

Bagaimanapun, Muthu menegaskan beliau masih presiden POS apabila mendakwa EGM yang diadakan itu tidak mengikut perlembagaan yang ditetapkan badan induk berkenaan.

Berita Harian X