Sabtu, 16 April 2022 | 6:38pm
Gambar fail, Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh
Gambar fail, Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh

Wan Hisham tawar tanding jawatan presiden KOM

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh sedia menawarkan diri bertanding merebut kerusi nombor satu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sekiranya mendapat sokongan persatuan negeri.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya ada individu yang dirasakan lebih baik untuk memegang jawatan itu, beliau sedia memberikan sokongan kepada calon berkenaan.

"Jika tiada, saya sedia tawarkan diri. Perkara ini memang kita ada bincangkan terutama membabitkan masa depan KOM dan ada beberapa pilihan yang boleh kita buat namun semuanya masih belum ada kata putus lagi.

"Saya melihat pentadbir negeri dan atlet kecewa dengan apa yang berlaku sekarang dan itu yang menyebabkan saya terpanggil untuk menawarkan diri. Kita perlukan idea baharu dan lebih segar demi kemajuan sukan olahraga," katanya.

Semalam, BH Sukan melaporkan perebutan kerusi nombor satu KOM dijangka 'panas' apabila beberapa individu dilaporkan berhasrat untuk mencabar penyandang jawatan presiden, Datuk SM Muthu dalam pemilihan yang dijadual pada 12 Jun ini.

Difahamkan, tiga bekas presiden badan induk itu sedang mempertimbangkan untuk membuat kemunculan semula iaitu Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Datuk Karim Ibrahim dan Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza.

Selain itu, dua bekas timbalan presiden KOM turut dilaporkan berminat bagi bertanding untuk merebut jawatan nombor satu badan induk berkenaan iaitu Wan Hisham dan Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Wan Hisham yang menggalas tanggungjawab sebagai timbalan presiden bagi penggal 2013-2015 pernah bertanding merebut jawatan presiden selepas itu tetapi tewas di tangan Karim pada pemilihan untuk penggal 2014-2016.

"Saya menawarkan diri bukan sebab saya mahu balas dendam atau apa sebaliknya ia lebih kepada kepentingan sukan olahraga itu sendiri. Saya mahu lihat sukan olahraga ini maju," katanya yang menang jawatan timbalan presiden pada 2013 dengan menewaskan Karim.

Berita Harian X