Selasa, 12 April 2022 | 1:23pm
Rayzam tekad rampas semula pingat emas di Sukan SEA Vietnam bulan depan.
Rayzam tekad rampas semula pingat emas di Sukan SEA Vietnam bulan depan.

Rayzam harap pengalaman bantu misi rampas emas

KUALA LUMPUR: Atlet lari berpagar 110 meter (m) negara, Rayzam Shah Wan Sofian akan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman yang dimilikinya dalam misi untuk merampas semula pingat emas acara itu pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan depan.

Katanya, dia sedar berdepan cabaran sukar bagi merealisasikan matlamat berkenaan apabila perlu bersaing dengan atlet negara lain yang jauh lebih muda berbanding dirinya yang kini berusia 34 tahun.

"Saya fikir semua negara adalah pencabar utama saya kerana mereka akan dibarisi atlet muda yang berusia 21, 23 dan 24 tahun. Saya pula boleh dianggap antara paling senior dengan usia saya sekarang 34 tahun.

"Saya anggap ini satu cabaran untuk saya. Namun, saya ada pengalaman dan saya percaya ia akan menjadi kelebihan buat saya untuk bersaing dengan atlet-atlet muda di Vietnam nanti," kata Rayzam.

Pada Sukan SEA Manila 2019, Rayzam gagal mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun sebelum itu di Kuala Lumpur apabila sekadar meraih perak.

Biarpun mencatat masa yang sama iaitu 13.97 saat (s) dengan pemenang emas dari Filipina, Clinton Kingsley Bautista namun Rayzam terpaksa akur apabila mereka dipisahkan menerusi keputusan 'photo finish'.

Selain edisi 20017, atlet kelahiran Keningau, Sabah itu turut memenangi emas pada Sukan SEA Korat 2007.

Berita Harian X