Isnin, 11 April 2022 | 6:58pm
Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil. - Foto BERNAMA
Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil. - Foto BERNAMA

Sasaran 5 emas skuad olahraga di Vietnam realistik

KUALA LUMPUR: Sasaran lima pingat emas yang diletakkan buat skuad olahraga negara pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan depan adalah realistik.

Malah, ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil percaya bukan sesuatu yang 'luar biasa' sekiranya atlet mampu membawa pulang lebih daripada lima emas yang ditetapkan itu.

"Dengan dibarisi seramai 36 atlet yang mana 18 berada di bawah kategori A dan 18 kategori B, saya percaya ia adalah sasaran yang realistik (lima emas).

"Berdasarkan prestasi semasa atlet, saya percaya ia adalah sasaran yang munasabah dan jika ada rezeki mungkin akan ada tambahan pingat emas nanti," katanya ketika sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, hari ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu sebelum ini mengumumkan sasaran skuad olahraga negara di Hanoi adalah lima emas, tujuh perak dan tujuh gangsa.

Pada edisi 2019 di Manila, Filipina, skuad negara membawa pulang lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa sekali gus menduduki tempat keempat keseluruhan.

Dalam pada itu, Manshahar memberitahu seramai 13 atlet akan menyertai saingan Terbuka Singapura pada Sabtu dan Ahad ini sebagai sebahagian persiapan menghadapi Sukan SEA Hanoi.

"Mereka semua adalah atlet yang bersedia dan memerlukan kejohanan untuk meningkatkan lagi tahap prestasi mereka.

"Selain itu, ada beberapa atlet yang kini berada di luar negara. Jackie Wong dan Grace Wong (baling tukul besi lelaki dan wanita) ketika ini berada di Korea Selatan untuk menjalani latihan manakala Russel Alexander Nasir Taib (100 meter) berpangkalan di Melbourne dan akan menyertai pasukan di Vietnam nanti," katanya.

Berita Harian X