Khamis, 31 March 2022 | 7:28pm
Muthu jelaskan kontroversi mengenai pemilihan atlet ke Sukan SEA Hanoi.
Muthu jelaskan kontroversi mengenai pemilihan atlet ke Sukan SEA Hanoi.

Catatan Fatin selepas tarikh kelayakan, pendaftaran

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menegaskan tiada pilih kasih dalam pemilihan atlet yang akan beraksi di Sukan SEA Hanoi, Mei depan.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu menegaskan isu atlet Fatin Ilyana Mat Nayan yang tidak terpilih ke temasya itu tidak harus timbul kerana pihaknya memilih mengikut peraturan yang sudah ditetapkan serta disyaratkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM)

Katanya, KOM pada awalnya sudah menyerahkan enam nama bagi senarai kuartet 4x100 meter (m) wanita selepas pemilihan diputuskan menerusi Kejohanan Olahraga Malaysia.

Katanya, atlet berkenaan adalah Azreen Nabila Alias; Zaidatul Husniah Zulkifli; Komalam Shally Selvaretnam; Siti Fatima Mohamad; Mur Aisyah Rofina Aling dan Nor Sarah Hadi.

"Jawatankuasa Pemilihan KOM telah mendaftar seramai enam orang atlet untuk rangkaian 4x100m. Daripada enam orang atlet yang didaftar itu, hanya lima akan dipilih beraksi di temasya itu seperti dikehendaki MOM.

"Pada 26 Mac 2022, keenam-enam atlet yang sudah didaftar itu harus menyertai kejohanan Olahraga FT All Comers untuk memilih lima atlet terbaik.

"Dalam kejohanan itu, Fatin Ilyana telah didaftar oleh jurulatih peribadinya dan mencatat masa 11.97s.

"Bagi KOM, sebarang pencapaian yang dicipta di dalam Kejohanan FT All Commers tidak boleh diambil kira kerana tarikh kelayakan tamat pada 6 Mac 2022 dan tarikh pendaftaran terakhir yang ditetapkan MOM pada 11 Mac 2022.

"Bagaimanapun, KOM menghargai pencapaian Fatin Ilyana itu dan akan mengambil kira untuk kejohanan yang lain," kata Muthu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan pemimpin persatuan sukan kebangsaan supaya tidak menimbulkan spekulasi kurang baik terutama dalam pemilihan atlet ke Sukan SEA Hanoi.

Kenyataan beliau itu hadir susulan isu dibangkitkan mengenai pemilihan atlet olahraga dalam membentuk kuartet 4x100m wanita ke temasya dwitahunan.

Katanya, beliau tidak mempunyai niat campur tangan dengan urusan pemilihan atlet diputuskan KOM, namun mengikuti rapat isu dibangkitkan sekali gus terpanggil untuk mengingatkan pentadbir sukan terhadap tanggungjawab memilih atlet terbaik yang dimiliki bagi membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.

Sebelum itu, jurulatih skuad pecut negara, M Balamurugan kecewa dengan keputusan KOM yang tidak menyenaraikan Fatin Ilyana ke temasya dwitahunan itu.

Katanya, berdasarkan prestasi semasa, atlet berusia 19 tahun itu layak berada dalam skuad 4x100m wanita apabila muncul antara empat pelari mencatatkan keputusan terbaik peribadi dengan larian 12 saat (s) ke bawah pada Kejohanan Kejohanan FT All Commers minggu lalu.

Menurut Balamurugan, berdasarkan catatan terbaik musim ini, Zaidatul Husniah Zulkifli, 29, mempunyai pencapaian terbaik dengan catatan 11.62s, diikuti dua atlet berusia 22 tahun - Nor Sarah Adi (11.89s) dan Azreen Nabila Alias (11.90s) - serta Fatin Ilyana (11.97s).

Berita Harian X