Selasa, 29 March 2022 | 6:02pm
Rayzam (kanan) akan bersara selepas tamat Sukan SEA Vietnam Mei ini.
Rayzam (kanan) akan bersara selepas tamat Sukan SEA Vietnam Mei ini.

Rayzam bakal ikut jejak Hup Wei

KUALA LUMPUR: Atlet lari berpagar 110 meter (m) negara, Rayzam Shah Wan Sofian bakal mengikut jejak rakan baiknya, Lee Hup Wei yang mengumumkan persaraannya, Ahad lalu.

Rayzam yang bakal menyertai Sukan SEA Vietnam, Mei ini berkata, dia sebenarnya sudah merancang untuk bersara bersama-sama rakan baiknya itu selepas temasya dwitahunan berkenaan.

Begitupun katanya, hasrat berkenaan tidak kesampaian apabila Hup Wei yang juga jaguh lompat tinggi negara tidak dapat beraksi di Hanoi nanti dan membuat keputusan mengumumkan persaraannya lebih awal.

"Sebenarnya kami bercadang untuk sama-sama bersara selepas Sukan SEA," kata Rayzam, 32 tahun.

"Namun hajat itu tak kesampaian. Dia adalah seorang kawan saya dari dulu sehinggalah sekarang.

"Setiap kejohanan kami akan pergi bersama-sama. Memang agak terkilan kerana dia tidak ke Sukan SEA, kami sentiasa membuat perancangan bersama-sama dan itu agak menyedihkan."

Hujung minggu lalu, Hup Wei yang pernah menyertai tiga temasya Sukan Olimpik mengumumkan persaraannya dan memutuskan untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang jurulatih.

"Selepas ini dia akan menyertai bidang kejurulatihan. Saya katakan, dia juga akan berjaya dalam bidang itu. Saya harap dia menjadi jurulatih yang terbaik dan melahirkan 10 lagi Hup Wei atau mungkin juga lebih baik daripadanya," kata Rayzam.

Pada Sukan SEA Manila 2019, Rayzam gagal mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun sebelum itu di Kuala Lumpur apabila sekadar meraih perak.

Biarpun mencatat masa yang sama iaitu 13.97 saat (s) dengan pemenang emas dari Filipina, Clinton Kingsley Bautista, Rayzam terpaksa akur apabila mereka dipisahkan menerusi keputusan 'photo finish'.

Selain edisi 2017, atlet kelahiran Keningau, Sabah itu turut memenangi emas pada Sukan SEA Korat 2007.

Berita Harian X