Jumaat, 18 March 2022 | 9:51pm
Atlet USIM, Muhammad Shahril Aiman Mohd Noor memenangi acara 5,000 meter pada Kejohanan Olahraga IPT 2022 Sirkit 1 di Stadium Olahraga, Kompleks Sukan Negeri Johor, Mount Austin, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan.
Atlet USIM, Muhammad Shahril Aiman Mohd Noor memenangi acara 5,000 meter pada Kejohanan Olahraga IPT 2022 Sirkit 1 di Stadium Olahraga, Kompleks Sukan Negeri Johor, Mount Austin, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan.

Shahril Aiman raih emas acara 5,000m olahraga IPT

JOHOR BAHRU: Atlet Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih emas dalam acara 5,000 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 Sirkit 1 yang bermula di sini, hari ini.

Dalam kejohanan yang diadakan di Stadium Olahraga, Kompleks Sukan Negeri, Mount Austin itu, Muhammad Shahril Aiman Mohd Noor, 20, mencatatkan masa 16 minit 54 saat untuk mengatasi 19 atlet lain.

Wakil Universiti Teknologi MARA (UiTM), Abdul Quzaimi Mohd Kis Dinuma meraih perak dengan catatan masa 17 minit 01 saat manakala wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Izzat Irfan Shahrul memenangi gangsa dengan catatan masa 17 minit 10 saat.

Muhammad Shahril Aiman ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka percubaan pertamanya dalam acara 5,000 meter membuahkan hasil membanggakan.

Katanya, beliau sekadar mencuba nasib pada acara itu kerana lebih menumpukan pada acara kegemarannya iaitu 3,000 meter lari berhalangan.

"Alhamdulillah, percubaan pertama saya dalam acara 5,000 meter berakhir dengan cemerlang.

"Ketika latihan, saya hanya mencatatkan masa 17 minit 54 saat namun hari ini berjaya merperbaiki catatan peribadi apabila merekodkan masa 16 minit 54 saat.

"Sasaran saya selepas ini adalah Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Shahril Aiman, berazam memperbaiki pencapaian pada Kejohanan Olahraga Kebangsaan ke-97, baru-baru apabila hanya meraih tempat keempat dalam acara 3,000 meter lari berhalangan.

"Saya mahu memperbaiki catatan masa bagi acara ini kerana sekadar mencatat masa 10 minit 18 saat lada Kejohanan Olahraga Kebangsaan.

"Saya mahu sekurang-kurangnya berada pada kedudukan tiga terbaik dan meraih pingat," katanya.

Berita Harian X