Jumaat, 18 March 2022 | 5:57pm
Atlet merejam lembing, Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi dari UTeM memenangi emas pertama Sirkit 1 Kejohanan Olahraga IPT 2022 di Stadium Olahraga, Kompleks Sukan Negeri Johor, Mount Austin, hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan.
Atlet merejam lembing, Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi dari UTeM memenangi emas pertama Sirkit 1 Kejohanan Olahraga IPT 2022 di Stadium Olahraga, Kompleks Sukan Negeri Johor, Mount Austin, hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan.

Syed Abrar raih emas pertama olahraga IPT 2022

JOHOR BAHRU: Wakil Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi muncul atlet pertama meraih emas Sirkit 1 Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di sini, hari ini selepas memenangi acara merejam lembing.

Syed Abrar, 22, merekodkan rejaman sejauh 53.75 meter (m) untuk mengatasi 11 atlet lain. Pingat perak dimenangi wakil Universiti Teknologi PETRONAS, Ng Yong Jie dengan catatan 53.67, manakala atlet Kolej Taylor, Chua Yi Xian raih gangsa (49.79m).

Walaupun gembira meraih emas dalam penyertaan sulungnya pada kejohanan berkenaan, Syed Abrar mengakui sedikit kecewa kerana gagal memecahkan rekod peribadi terbaiknya iaitu 56.84m yang dicatatnya pada Kejohanan Olahraga Kebangsaan ke-97, baru-baru ini.

"Sasaran saya sebenarnya adalah 60, meter namun rejaman hari ini (semalam) tidak berapa menjadi. Bagaimanapun ia tidak melunturkan semangat saya.

"Saingan sengit Yong Jie tadi berjaya meningkatkan kembali kualiti rejaman saya sebelum akhirnya berjaya meraih emas," katanya ketika ditemui pada kejohanan di Stadium Olahraga Kompleks Sukan Negeri, Mount Austin, dekat sini, hari ini.

Seramai 244 atlet IPT seluruh negara menyertai kejohanan selama tiga hari itu bermula hari ini sehingga Ahad.

Pada kejohanan kali ini, ia turut menarik penyertaan beberapa atlet kebangsaan termasuk pelari pecut, Jonathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM).

Berita Harian X