Jumaat, 18 March 2022 | 2:10pm
Sheeren Samson Vallabouy meraikan kejayaan memenangi acara 400m Kejohanan Divisyen 2 Trek dan Padang Dalam Dewan National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, AS pada Sabtu lalu. - Foto ihsan Instagram Shereen Samson Vallabouy.
Sheeren Samson Vallabouy meraikan kejayaan memenangi acara 400m Kejohanan Divisyen 2 Trek dan Padang Dalam Dewan National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, AS pada Sabtu lalu. - Foto ihsan Instagram Shereen Samson Vallabouy.

KBS, MSN nafi pandang sepi pencapaian Shereen

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan agensi itu dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang sepi pencapaian atlet olahraga wanita kebangsaan, Sheeren Samson Vallabouy di Amerika Syarikat (AS).

Sabtu lalu, Sheeren mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan ketika menjuarai acara 400 meter (m) Kejohanan Divisyen 2 Trek dan Padang Dalam Dewan National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, MSN, berkata agensi itu sentiasa mengikuti perkembangan Sheeren di AS dan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Mumtaz Jaafar sendiri menghubungi ibu atlet berkenaan pada 10 Mac lalu untuk menyenaraikannya ke Sukan SEA Vietnam, Mei depan.

"Catatan masa 53.79 saat yang juga lakaran peribadi terbaik Sheeren itu telah menyamai catatan pingat perak Sukan SEA Filipina 2019 sekali gus melayakkannya ke temasya Sukan SEA di Vietnam, Mei ini.

"Namun Sheeren tidak disenaraikan dalam kontinjen Sukan SEA kali ini kerana jadual kejohanan di Vietnam bertindih dengan jadual peperiksaannya di Winona State University, Minnesota.

"Ibu Sheeren memberi jaminan anaknya boleh mewakili negara ke Sukan Asia pada September kerana jadual pengajian yang tidak bertindih.

"Pencapaian terbaru ini membuktikan bakat dimiliki Sheeren berjaya diasah menerusi bimbingan jurulatih di universitinya dan pihak Majlis akan memberikan sokongan dan bantuan demi memastikan Sheeren mampu terus menghasilkan peningkatan prestasi secara konsisten," kata MSN dalam kenyataan itu.

Kenyataan MSN itu dikeluarkan bagi menafikan dakwaan Presiden Yayasan Komuniti Wanita Sukan di Malaysia (FOWCUS), Datuk Zuraida Kamaruddin, bahawa pihak KBS memandang sepi pencapaian Sheeren di AS.

Dalam pada itu, MSN memberitahu Sheeren sebelum ini adalah atlet yang tersenarai dalam program pelapis kebangsaan di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan terpilih memasuki Program 'Kita Juara'pada 2016 sebagai persiapan untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Dibimbing oleh ibunya, Josephine Mary yang dilantik sebagai jurulatih, Sheeren disasarkan untuk memenangi pingat individu acara 400m di Sukan SEA 2017 tetapi hanya beroleh pingat dalam acara 4x400m.

"Sheeren kemudiannya memutuskan untuk tidak meneruskan latihan di bawah Program Kita Juara setelah keluarganya berjaya mendapatkan biasiswa untuk menyambung pengajiannya di Winona State University," katanya.

Berita Harian X