Khamis, 17 March 2022 | 3:47pm
 Atlet kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy meraikan kejayaan memenangi acara 400m pada kejohanan NCAA di Kansas, AS, Sabtu lalu. - Foto ihsan Instagram Shereen Samson Vallabouy.
Atlet kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy meraikan kejayaan memenangi acara 400m pada kejohanan NCAA di Kansas, AS, Sabtu lalu. - Foto ihsan Instagram Shereen Samson Vallabouy.

Shereen tekad lakar lebih banyak kejayaan

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga wanita kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy tidak akan menghentikan langkahnya apabila tekad untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang dengan dia kini mengalihkan fokus bagi saingan luar dewan.

Pelari berusia 24 tahun itu mencipta sensasi apabila menjuarai acara 400 meter (m) Kejohanan Divisyen 2 Trek dan Padang Dalam Dewan National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, Amerika Syarikat (AS), Sabtu lalu dengan memecahkan rekod kebangsaan selepas mencatat masa 53.79 saat (s).

Dia memadam rekod kebangsaan berusia 16 tahun milik Noraseela Khalid yang mencatat 54.58s di Jerman pada 2006.

Shereen yang menuntut dalam bidang rekreasi dan pelancongan di Winona State University sejak 2019, berkata dia akan terus bekerja keras dan teruja untuk memulakan musim kejohanan luar dewan yang dijadual bermula hujung bulan depan.

"Saya tidak akan berada di sini hari ini tanpa sokongan daripada rakan sepasukan dan jurulatih. Saya berterima kasih kepada Winona State University yang memberi peluang kepada saya untuk meneruskan kerjaya sebagai atlet dan pelajar di AS.

"Saya juga bersyukur kerana mendapat peluang untuk beraksi dalam acara 4x400m bersama rakan sepasukan yang terbaik dalam kejohanan tertinggi peringkat kolej dengan meraih kedududkan keseluruhan di tempat kesembilan.

"Saya akan terus bekerja keras dan tidak sabar untuk memulakan aksi dalam saingan luar dewan," katanya yang juga anak bongsu kepada pasangan bekas pelari negara, Samson Vallabouy dan Josephine Mary Singarayar.

Sheereen sebelum ini pernah berada dalam program latihan 'Kita Juara' kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum memutuskan untuk keluar daripada program selepas ditawarkan biasiswa NCAA bagi menyambung pengajian di AS.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil menerusi laporan Bernama semalam percaya sekiranya Shereen mampu meningkatkan lagi prestasinya, dia berpotensi memecahkan rekod kebangsaan 400m luar dewan milik Allahyarham Rabia Abdul Salam yang dilakar pada 1993 di Filipina.

Malah, pemenang pingat gangsa Sukan SEA Singapura 2015 itu turut berpotensi beraksi pada Sukan Komanwel Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini, serta Sukan Asia Hangzhou, dari 10 hingga 25 September sekiranya dapat menampilkan larian cemerlang selain melepasi had masa kelayakan ditetapkan.

Berita Harian X