Selasa, 15 March 2022 | 6:33pm
Gambar fail - Aksi Nauraj Singh Randhawa dalam satu kejohanan di Republik Czech sebelum ini. - Foto ihsan Jiri Kotas
Gambar fail - Aksi Nauraj Singh Randhawa dalam satu kejohanan di Republik Czech sebelum ini. - Foto ihsan Jiri Kotas

Punca KOM tak daftar Nauraj ke Serbia

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menjelaskan keputusan untuk tidak mendaftarkan jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa beraksi di Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia 2022 di Belgrade, Serbia adalah disebabkan tempoh masa singkat bagi urusan permohonan visa atlet berkenaan.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu, berkata pihaknya hanya menerima surat daripada Olahraga Dunia (WA) yang memaklumkan Nauraj layak beraksi pada 9 Mac lalu iaitu seminggu sebelum kejohanan itu dijadualkan bermula pada 18 Mac ini.

"Pada Januari lalu, Olahraga Dunia meminta kami untuk menghantar nama seorang atlet untuk beraksi dalam kejohanan berkenaan dan memang kami menyenaraikan Nauraj tetapi badan induk dunia itu tidak menerima atlet lompat tinggi sebaliknya memberi laluan kepada tiga acara lain.

"Jadi, kami memutuskan untuk menghantar atlet lompat jauh, Andre Anura Anuar. Pada bulan Februari kami menghantar pasport Andre Anura ke Jakarta, Indonesia bagi permohonan visa kerana tiada kedutaan Serbia di Malaysia. Ia mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan.

"Namun, pada 9 Mac yang lalu, Olahraga Dunia hantar surat yang seorang atlet lompat tinggi boleh menyertai kejohanan tetapi masa yang ada hanya lebih kurang seminggu dan pastinya sukar untuk melakukan permohonan visa kerana perlu dihantar ke Jakarta," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Muthu berkata pihaknya juga tidak dimaklumkan oleh Nauraj yang berpangkalan di Jerman yang dia memiliki permit pemastautin negara berkenaan yang membolehkan dia memasuki negara di Eropah tanpa memerlukan visa.

"Semalam baru dia beritahu kepada media yang dia ada permit pemastautin Jerman tetapi tidak pernah pun maklumkan kepada kami mengenai perkara ini. Sepatutnya dia maklumkan kepada dan sudah pasti akan mendaftarkan dia untuk menyertai kejohanan dunia itu.

"Kami tidak ada sebarang masalah dengan Nauraj dan tidak menghalang dia untuk menyertai kejohanan jika kami dimaklumkan mengenai perkara berkenaan lebih awal," katanya.

Nauraj sebelum ini menyuarakan kekecewaannya terhadap KOM dengan mendakwa badan induk itu menolak untuk mendaftarkan namanya bagi menyertai kejohanan di Belgrade atas beberapa sebab termasuklah membabitkan isu visa.

Dalam perkembangan lain, Muthu memaklumkan atlet muda, Mohamad Eizlan Dahalan dipilih bagi mengiringi Nauraj beraksi pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei depan.

Keputusan itu menyaksikan seorang lagi jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei yang juga juara bertahan selepas memenangi emas pada edisi terakhir di Manila 2019 diketepikan.

Berita Harian X