Ahad, 13 March 2022 | 7:17pm
Gambar fail - Nauraj Singh Randhawa berjaya melakukan lompatan pada ketinggian 227 sentimeter pada satu kejohanan di Hvezdy v Nehvizdech, Republik Czech, baru-baru ini. - Foto ihsan Jiri Kotas.
Gambar fail - Nauraj Singh Randhawa berjaya melakukan lompatan pada ketinggian 227 sentimeter pada satu kejohanan di Hvezdy v Nehvizdech, Republik Czech, baru-baru ini. - Foto ihsan Jiri Kotas.

Nauraj kecewa nama tak disenarai ke kejohanan dunia

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa kecewa apabila tidak dapat menyertai Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia 2022 yang dijadual berlangsung di Belgrade, Serbia dari 18 hingga 20 Mac ini.

Meskipun dikatakan layak, dia yang berpangkalan di Jerman tampak berdukacita apabila namanya didakwa ditolak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) atas beberapa sebab antaranya membabitkan isu visa.

"Saya baru dapat tahu yang saya sebenarnya berjaya menyertai @wabelgrade22 memandangkan menjadi salah seorang dalam kelompok 12 atlet terbaik di dunia.

"Saya baru sedar mengenainya kerana saya baru membaca yang rakan lompat tinggi saya dari Belgium dapat berada dalam senarai kelompok 12 itu. Saya mengandaikan yang saya turut berada dalam kelompok itu kerana ranking saya di @worldathletics berada di atasnya.

"Saya tidak akan tahu mengenai perkara ini sekiranya saya tidak membuka Instagram dan melihat hantaran rakan saya itu. Saya kesal kerana mewakili kesatuan seperti itu.

"Dan saya menyalahkan semua yang mengundi jawatankuasa ini. Ini adalah peluang saya untuk menyertai kejohanan utama yang sebelum ini saya sudah berusaha dengan gigih.

"Peluang saya kini musnah kerana ketidakcekapan. Saya memutuskan untuk menghubungi Anthony, Pengurus Besar MAF (KOM). Dia kemudian memberi tahu saya yang Pengerusi Kejurulatihan, Datuk Mumtaz memutuskan menolak penyertaan saya.

"Ini kerana tampaknya saya sebagai seorang 'penduduk Jerman' memerlukan visa untuk ke Serbia. Ia juga terlalu di saat akhir dan dia tidak boleh menghantar saya baju kejohanan dalam masa terdekat," kata Nauraj dalam satu hantaran di Instastory, semalam.

Untuk rekod, Nauraj, 30, mencipta rekod baharu kebangsaan dalam dewan pada kejohanan Hvezdy v Nehvizdech yang diadakan di Tipsport Arena di Prague, Republik Czech, Januari lalu dengan lompatan 2.27m.

Berita Harian X