Isnin, 7 March 2022 | 7:02pm
Atlet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi hanya akan beraksi dalam acara 4x100 meter di Sukan SEA Hanoi, Mei depan.
Atlet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi hanya akan beraksi dalam acara 4x100 meter di Sukan SEA Hanoi, Mei depan.

Haiqal dapat 'talian hayat'

KUALA LUMPUR: Muhammad Haiqal Hanafi berada dalam senarai pasukan olahraga negara ke temasya Sukan SEA Vietnam, Mei depan namun hanya akan beraksi dalam acara 4x100 meter (m).

Perkara itu diumumkan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan badan induk sukan olahraga kebangsaan berkenaan hari ini selain turut menyatakan seramai 36 atlet bakal menggalas cabaran bagi edisi temasya di Hanoi nanti.

Ini secara tidak langsung menyaksikan Haiqal yang juga pemenang pingat emas acara 100m di Sukan SEA Filipina 2019 tidak akan mempertahankan gelarannya di Hanoi dan tugas berkenaan kini disandang Russel Alexander Nasir Taib.

Bagi acara 4x100m, Haiqal bakal bergandingan bersama Russel, Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

"Ada lebih kurang 36 atlet (ke Sukan SEA Vietnam). Empat belas atlet lelaki berada dalam kategori A dan tujuh dalam kategori B. Wanita pula empat dalam kategori A dan sembilan dalam kategori B, jadi keseluruhannya 36 atlet.

"Haiqal memang ada (dalam senarai pasukan), dia akan beraksi dalam acara 4x100m. Kita beri peluang kepada dia. Namun untuk acara 100m, harapan itu diletakkan kepada Russel," kata Muthu kepada media selepas mesyuarat berkenaan.

Ditanya mengenai status jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei, Muthu berkata, pihak KOM tidak dapat menyenaraikan atlet berpengalaman itu memandangkan dia tidak melepasi had kelayakan namun sudah mempunyai perancangan untuknya.

"Tunggu pada masa yang sesuai dan kita akan umum apa yang kita akan buat. Memang sudah ada perancangan. Dia seorang atlet berpengalaman dan perancangan terhadapnya akan diumumkan nanti. Mungkin kita akan beri peluang untuk dia menjadi jurulatih lompat tinggi, itupun kalau dia mahu," kata Muthu.

Empat atlet berjaya layak secara merit untuk beraksi di Sukan SEA Hanoi berdasarkan pencapaian mereka pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-97 hujung minggu lalu.

Empat atlet berkenaan adalah M Avinesh Austin (800 meter), Farm Loong Deng (lontar peluru) dan Muhaizar Mohamad (marathon) serta Norliana Kamaruddin (heptatlon) yang juga satu-satunya atlet wanita menempah slot ke temasya dwitahunan itu, pada hari terakhir kejohanan berkenaan semalam.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, itu turut menyaksikan nama besar seperti Haiqal, Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), serta dua atlet lompat tinggi iaitu Hup Wei dan Yap Sean Yee (wanita) gagal melepasi had kelayakan ditetapkan ke Hanoi.

Pada edisi 2019 di Filipina, skuad olahraga negara berjaya menepati sasaran lima emas selain turut membawa pulang sembilan perak dan tujuh gangsa.

Lima emas Malaysia hadir menerusi Haiqal, Hup Wei, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita).

Berita Harian X