Sabtu, 5 March 2022 | 7:09pm
Gambar fail - Jaguh baling tukul besi wanita negara, Grace Wong.
Gambar fail - Jaguh baling tukul besi wanita negara, Grace Wong.

Grace tampil misi serampang dua mata

KUALA LUMPUR: Jaguh baling tukul besi wanita negara, Grace Wong bakal tampil dengan misi serampang dua mata apabila beraksi pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei ini.

Atlet berusia 22 tahun itu bukan saja bertekad merampas kembali pingat emas dimenanginya lima tahun lalu tetapi juga mengintai peluang bagi memecahkan rekod kebangsaan miliknya dengan menyasarkan balingan sejauh 63 meter (m).

Grace adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.48m yang dilakukannya ketika saingan Grand Prix (GP) Malaysia pada April tahun lalu.

Pada Sukan SEA Manila tiga tahun lalu, Grace gagal mempertahankan emas yang dimenanginya di Kuala Lumpur pada 2017 apabila terpaksa akur dengan meraih perak selepas tewas di tangan atlet Thailand, Mingkamon Koomphon yang muncul juara.

"Memang saya sasarkan untuk kembali memenangi emas selain mahu memecahkan rekod kebangsaan. Saya percaya dengan persiapan yang rapi saya boleh melakukannya.

"Cuma, saya perlu lebih tenang apabila beraksi dalam kejohanan. Sebelum ini, disebabkan terlalu mahu sangat menang, saya hilang fokus dan menjejaskan balingan saya.

"Jadi, saya akan berlajar daripada pengalaman sebelum ini apabila beraksi di Sukan SEA nanti," kata Grace.

Terdahulu, Grace membuktikan kehebatanya selaku jaguh baling tukul besi wanita negara apabila menungguli saingan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, hari ini.

Atlet berasal dari Sarawak itu memastikan emas menjadi miliknya apabila membuat balingan sejauh 61.87m, jauh meninggalkan atlet Selangor, Nurul Hidayah Lukman yang meraih perak dengan catatan 49.74m.

Gangsa dalam acara itu menjadi milik atlet Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Nurfazira Jalaludin dengan balingan sejauh 47.37m.

Berita Harian X