Sabtu, 5 March 2022 | 7:02pm
Muhammad Haiqal Hanafi (tengah) memenangi 100m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Mini Stadium MSN, Bukit Jalil, hari ini. - NSTP/Fathil Asri
Muhammad Haiqal Hanafi (tengah) memenangi 100m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Mini Stadium MSN, Bukit Jalil, hari ini. - NSTP/Fathil Asri

Juara tapi Haiqal tak layak ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Walaupun berjaya mengungguli saingan acara 100 meter (m) lelaki dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, di sini hari ini, ia masih belum memadai buat Muhammad Haiqal Hanafi untuk layak secara merit ke Sukan SEA Vietnam, di Hanoi Mei ini.

Pada saingan di Stadium Mini MSN di Bukit Jalil itu, Haiqal, 23, yang mewakili pasukan Negeri Sembilan memenangi emas selepas merakam masa terpantas 10.58 saat (s).

Bagaimanapun, catatan itu masih jauh ketinggalan dengan had kelayakan minimum ke Hanoi iaitu 10.52s - catatan pemenang gangsa edisi terakhir Sukan SEA di Manila pada 2019.

Sebagai rekod, Haiqal adalah pemenang emas di Manila dengan catatan 10.35s.

Dengan Terbuka Malaysia menjadi kejohanan terakhir buat atlet bagi menempah tiket ke Hanoi, peluang kini sudah tertutup buat Haiqal bagi mempertahankan emas yang dimenanginya tiga tahun lalu.

Bagi Haiqal, dia akur apabila gagal melepasi had kelayakan ke Sukan SEA kali ini, namun akan terus fokus dalam latihan menghadapi kejohanan lain.

"Sebenarnya saya tidak fikir sangat mengenai Sukan SEA. Kalau tiada rezeki saya di Sukan SEA kali ini, mungkin ada dalam kejohanan lain.

"Saya tidak berasa kecewa pun, bukan saya mahu bercakap besar tetapi saya sudah ada pengalaman memenangi emas individu di Sukan SEA.

"Lagipun, saya memang belum bersedia untuk acara individu Sukan SEA kali ini kerana baru beberapa kali menyertai kejohanan. Saya sudah boleh agak prestasi saya nanti," katanya.

Perak dalam acara 100m saingan Terbuka Malaysia kali ini dimenenangi atlet dari Johor, Muhammad Arsyad Md Saat dengan catatan 10.63s manakala Jonathan Nyepa yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gangsa dengan catatan 10.64s.

Sementara itu, dalam saingan 100m wanita menyaksikan atlet Singapura, Pereira Veronica Shanti muncul juara dengan catatan 12.03s, manakala Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah kedua (12.18s) dan Fatin Ilyana Mat Nayan dari Kedah ketiga (12.26s).

Berita Harian X