Khamis, 3 March 2022 | 8:29pm
Gambar fail - Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong. - Foto BERNAMA
Gambar fail - Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong. - Foto BERNAMA

Jackie tekad tebus kecewa di Vietnam

KUALA LUMPUR: Kekecewaan terlepas kilauan pingat emas di Sukan SEA Filipina 2019 masih menjadi igauan buat jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong.

Atlet berusia 30 tahun yang meraih emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, terlepas pingat berkenaan di tangan atlet Thailand, Kittipong Boonmawan di Filipina dan medan pertarungan di Hanoi, Vietnam, Mei ini menjadi lokasi untuknya menebus kehampaan.

Justeru, tempoh dua bulan yang ada ini akan digunakan Jackie untuk mempertajamkan balingannya selepas pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu banyak menjejaskan perancangan dan latihannya.

"Sekarang ini, apa yang diperlukan adalah lebih banyak kejohanan selepas menempuh dua tahun yang tidak normal," kata Jackie. "Agak sukar juga untuk mendapatkan semula perasaan pertandingan itu. Saya juga merasakan seperti 'cemas' apabila bertanding."

Minggu lalu pada Kejohanan Perak All-Comers, Jackie yang mencipta rekod baharu kejohanan merangkul emas dengan catatan 65.37 meter (m) sekali gus melayakkan diri ke temasya dwi tahunan di Hanoi dari 12 hingga 23 Mei ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu dijadual mengharungi satu lagi pentas pemanas badan iaitu di Terbuka Malaysia dari 5 hingga 6 Mac ini di Bukit Jalil dengan sasaran memperbaiki catatan dilakukan di Perak.

Untuk rekod, Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan dengan 67.01m yang dilakukannya di Kejohanan Asia di Doha, Qatar pada April 2019. Sebelum itu, dia turut memegang rekod kebangsaan dengan catatan 65.90m di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pada temasya di Filipina 2019, Jackie pulang dengan kilauan perak selepas mencatat 63.83m manakala Kittipong melakukan 67.56m untuk meraih emas. Atlet Myanmar, Ye Htet Aung, meraih gangsa dengan catatan 58.88m.

Berita Harian X