Isnin, 28 Februari 2022 | 7:08pm
Positif COVID-19 tidak ganggu rentak larian Arsyad di Perak All-Comers.
Positif COVID-19 tidak ganggu rentak larian Arsyad di Perak All-Comers.

Arsyad layak bertanding di Vietnam

KUALA LUMPUR: Walaupun diuji positif COVID-19 dua minggu sebelum Kejohanan Olahraga Perak All-Comers bermula, ia tidak menghalang atlet pecut, Muhammad Arsyad Md Saat layak secara merit ke Sukan SEA Vietnam, Mei depan dalam acara 100 meter (m).

Arsyad beraksi cemerlang apabila dia mengesahkan tiket ke Vietnam selepas mencatat masa 10.48 saat (s) ketika saingan separuh akhir, kelmarin.

Catatan itu adalah lebih baik berbanding keputusan yang diraih pemenang perak Sukan SEA 2019, Ruttanapon Sowan dari Thailand yang melakukan 10.49s.

Bagaimanapun, Arsyad yang mewakili Johor gagal untuk memperbaiki catatan masa itu di pentas final apabila sekadar melakukan 10.59s namun masih berjaya untuk membawa pulang pingat emas bagi acara berkenaan.

Perak dimenangi Jonathan Nyepa yang mencatatkan 10.64s manakala gangsa menjadi milik juara Sukan SEA 2019, Muhammad Haiqal Hanafi dengan catatan 10.73s.

"Syukur kerana berjaya menang emas dan layak ke Sukan SEA. Dua minggu sebelum kejohanan, saya diuji positif COVID-19 dan tidak menjalani latihan, hanya dapat berlatih seminggu sebelum kejohanan.

"Kejayaan kali ini, sudah pastinya membakar semangat saya. Sasaran seterusnya adalah Terbuka Malaysia (hujung minggu ini), saya mahu terus menghasilkan keputusan yang positif," katanya yang dibimbing Muhamad Fitri Abu Hassan Asaari.

Arsyad berkata dengan tempoh masa yang ada, dia akan cuba untuk memperbaiki kelemahan terutama di blok permulaan.

"Saya juga perlu bekerja keras bagi meningkatkan lagi kekuatan fizikal dan tahap ketahanan saya," katanya.

Berita Harian X