Ahad, 27 Februari 2022 | 8:39pm
Bekas pelari 800 meter (m) dan 1,500m Olimpik negara, R Subramaniam (kanan). - Foto ihsan Level Field.
Bekas pelari 800 meter (m) dan 1,500m Olimpik negara, R Subramaniam (kanan). - Foto ihsan Level Field.

Bekas atlet Olimpik negara meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas pelari 800 meter (m) dan 1,500m Olimpik negara, R Subramaniam meninggal dunia pada usia 82 tahun, hari ini.

Berita pemergian bekas pelari jarak sederhana negara era 60an itu yang turut memiliki pengalaman bersaing di Sukan SEAP (kini dikenali sebagai Sukan SEA), Sukan Komanwel dan Sukan Asia dimaklumkan Naib Presiden Persatuan Olahraga Negeri Sembilan, Datuk RRM Krishnan menerusi kiriman aplikasi WhatsApp.

Difahamkan, Subramaniam menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kajang selepas mengadu mengalami sakit dada.

Ketika dihubungi Bernama, bekas jurulatih skuad olahraga kebangsaan, C Ramanathan berkata mendiang adalah salah seorang atlet bercita-cita tinggi.

Walaupun skop tugas Ramanathan lebih tertumpu kepada acara pecut, beliau sering terdengar nama Subramaniam disebut-sebut dalam kalangan atlet serta jurulatih yang mengagumi potensi tinggi dimilikinya.

"Salah seorang pelari jarak sederhana dan jauh yang hebat. Beliau melakukannya dengan cemerlang, sumbangannya kepada sukan olahraga Malaysia amat terserlah dan patut dibanggakan. Saya terkejut mendengan berita pemergiannya," kata beliau.

Sementara itu, bekas atlet dan jurulatih olahraga kebangsaan, Harun Rasheed menyifatkan mendiang yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Penjara sebelum bersara sebagai Timbalan Pengarah, Penjara Kajang seorang yang mudah didekati dan tidak lokek berkongsi ilmu.

"Dia merupakan senior dan saya junior ketika itu. Dia memang atlet yang merendah diri, tak sombong. Kami sama-sama tinggal di satu taman di Kajang sebelum dia berpindah dan kami terputus hubungan. Selepas itu hanya beberapa kali terserempak di pasar berdekatan," katanya.

Subramaniam dilahirkan di Selangor pada 24 Oktober 1939 mendapat pendidikan di Sekolah Kishan Dial hingga tamat Tingkatan Lima sebelum mula aktif dalam bidang olahraga pada usia 19 tahun.

Selain membuat penampilan di Sukan Olimpik 1964 di Tokyo dan edisi 1968 di Mexico City, antara penyertaan dan pencapaian Subramaniam adalah merangkul pingat perak di Sukan Asia 1966 di Bangkok masing-masing dalam acara 800m dan 1,500m.

Mendiang turut memenangi pingat emas dalam kedua-dua acara kegemarannya itu pada Sukan SEAP 1965 di Kuala Lumpur sebelum sekali lagi mendominasi acara 800m, 1,500m dan 5,000m pada edisi 1967 di Bangkok.

Selepas bersara dari arena olahraga, mendiang menabur bakti sebagai jurulatih bersama skuad olahraga kebangsaan menghadapi Sukan SEA 1975 dan 1977.

- BERNAMA

Berita Harian X