Ahad, 13 Februari 2022 | 5:59pm
Gambar fail - Atlet lompat tinggi kebangsaan, Nauraj Singh dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto BERNAMA.
Gambar fail - Atlet lompat tinggi kebangsaan, Nauraj Singh dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto BERNAMA.

Nauraj gembira catat rekod 2.22m di Jerman

KUALA LUMPUR: Tiga elemen penting menjadi penekanan utama buat atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh yang meraih pingat emas dalam satu kejohanan dalam dewan di Jerman, baru-baru ini.

Elemen berkenaan adalah keseimbangan dan kesinambungan minda badan serta rohani buat dirinya mengharungi jadual padat kejohanan sejak lebih dua minggu lalu.

Nauraj, 30, yang berpangkalan di Jerman meraih emas pada Kejohanan BKK Freudenberg Hochsprung Gala 2022 dengan ketinggian 2.22 meter (m).

Atlet berkenaan menewaskan wakil tuan rumah, Wagner Jonas dan Ukraine, Kravchuk Vadim yang masing-masing mencatatkan ketinggian 2.18m.

"Saya bersyukur gembira dapat menamatkan musim dalam dewan di Weinheim, Jerman ini," kata Nauraj dalam satu hantaran di Instagram. "Saya fikir ia sesuatu yang menggembirakan apabila Negaraku berkumandang di Jerman.

"Lagu yang biasa kedengaran dan mengimbau kenangan ketika perhimpunan sekolah!. Saya gembira dapat menamatkan saingan dengan lompatan 2.22m dalam senarai peserta yang cukup saya hormati."

Untuk rekod, Nauraj mencipta rekod baharu kebangsaan dalam dewan di kejohanan Hvezdy v Nehvizdech yang diadakan di Tipsport Arena di Prague, Republik Czech dengan lompatan 2.27m.

Berita Harian X