Selasa, 21 Disember 2021 | 6:04pm
Pelari pecut negara yang mewakili ATM, Siti Fatimah Mohamad (kiri), memenangi acara 100 meter wanita pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Stadium Mini MSN Bukit Jalil, hujung minggu lalu. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Saali.
Pelari pecut negara yang mewakili ATM, Siti Fatimah Mohamad (kiri), memenangi acara 100 meter wanita pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Stadium Mini MSN Bukit Jalil, hujung minggu lalu. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Saali.

Usia bukan penghalang kepada Siti Fatimah

KUALA LUMPUR: Atlet pecut wanita negara, Siti Fatimah Mohamad menegaskan usia bukan penghalang untuk dia mengejar cita-cita beraksi di temasya Sukan SEA, Komanwel dan Asia pada tahun depan.

Dia yang kini berusia 35 tahun membuktikan dirinya antara calon berpotensi membawa cabaran negara di tiga temasya berkenaan selepas mengungguli saingan 100 meter (m) dan 200m pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Bukit Jalil, hujung minggu lalu.

"Saya memang mahukan satu pencapaian yang lebih tinggi dalam kerjaya saya. Saya letak sasaran untuk beraksi di Sukan SEA, Komanwel dan Asia.

"Sebenarnya faktor usia tidak menggangu pun, ia tentang bagaimana anda menguruskan diri anda, pemakanan, proses pemulihan, latihan dan mental. Sebab itu, saya memang bersungguh-sungguh dan kekal fokus bagi mencapai cita-cita saya," katanya.

Dalam acara 100m, Siti Fatimah yang berasal dari Johor mengungguli saingan dengan catatan 12.27 saat (s) manakala bagi acara 200m dia merakam masa 24.7s.

Sebagai rekod, Siti Fatimah berjaya membantu kuartet 4x100m wanita negara memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA 2015.

Berita Harian X