Ahad, 19 Disember 2021 | 6:05pm
Atlet lompat tinggi Sabah kelahiran Tawau, Mohamad Eizlan Dahalan ungguli acara lompat tinggi pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Stadium Mini MSN Bukit Jalil, hari ini .
Atlet lompat tinggi Sabah kelahiran Tawau, Mohamad Eizlan Dahalan ungguli acara lompat tinggi pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Stadium Mini MSN Bukit Jalil, hari ini .

Atlet Tawau cemerlang olahraga tertutup kebangsaan

KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi Sabah, Mohamad Eizlan Dahalan puas apabila dapat memperbaharui rekod peribadi terbaiknya ketika mengungguli saingan pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Stadium Mini MSN Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Atlet berusia 22 tahun kelahiran Tawau itu melakukan lompatan setinggi 2.14 meter (m) untuk berada di kedudukan pertama.

Dia mengatasi rakan sepasukan, Farell Glenn Felix Jurus yang turut mencatat 2.14m namun kedua-dua mereka dibezakan menerusi lompatan penentuan yang mana hanya Eizlan bersedia melakukannya selepas pencabarnya itu mengalami sedikit kecederaan dan tidak boleh meneruskan aksi.

Olimpian negara, Lee Hup Wei yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa berpuas hati di tempat ketiga menerusi catatan 2.10m.

Eizlan berkata biarpun berjaya mengatasi Hup Wei namun dia sedikit kecewa apabila gagal melepasi had kelayakan ke Sukan SEA iaitu 2.15m.

"Secara keseluruhan saya gembira kerana berjaya memperbaharui catatan peribadi terbaik saya. Dua minggu lalu saya turut melakukan catatan peribadi terbaik 2.13m ketika ujian pemilihan SUKMA (Sukan Malaysia).

"Mungkin dia (Hup Wei) keletihan namun saya gembira dapat mengalahkan atlet itu. Sasaran saya selepas ini adalah layak untuk ke Sukan SEA Vietnam," katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.

Ini adalah kali kedua Eizlan berjaya menewaskan Hup Wei dalam kejohanan domestik selepas turut melakukannya ketika Grand Prix (GP) Malaysia, April lalu.

Ketika itu Eizlan dan Hup Wei melakukan lompatan 2.05m. Bagaimanapun, emas menjadi milik atlet Sabah berkenaan selepas Hup Wel menarik diri daripada meneruskan lompatan pada ketinggian 2.07m.

Berita Harian X