Rabu, 24 November 2021 | 7:02pm
Gambar fail - Mohd Poad Md Kassim (kiri) bersama atlet bimbingannya, Khairul Hafiz Jantan dalam satu kejohanan sebelum ini.
Gambar fail - Mohd Poad Md Kassim (kiri) bersama atlet bimbingannya, Khairul Hafiz Jantan dalam satu kejohanan sebelum ini.

Poad mampu lahir lebih ramai atlet pecut Perak

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Olahraga Perak, Datuk Karim Ibrahim menyambut baik kehadiran jurulatih pecut kebangsaan, Mohd Poad Md Kassim yang menjadikan negeri itu sebagai pangkalan latihan buat dia dan atlet di bawah bimbingannya.

Malah, beliau yakin Poad mampu membantu Perak untuk melahirkan lebih ramai atlet pecut untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

"Saya rasa bangga Poad ada di Perak. Kita ada atlet pecut handalan di Perak dan saya rasa Poad boleh bantu Perak lahirkan lebih ramai lagi atlet pecut.

"Saya yakin dengan kemampuan Poad dan hingga kini saya masih berhubung dengan dia untuk mengetahui keadaan terkini dan latihan yang dilakukan di Perak," katanya.

Poad sebelum ini memutuskan untuk mengambil 'angin baharu' apabila berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Perak dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.

Perpindahan itu bukan saja membabitkan dirinya malah dua anak didiknya iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Mohd Haiqal Hanafi turut menyertainya bagi meneruskan latihan seperti biasa Perak.

Dalam perkembangan lain, Karim memberitahu skuad olahraga masih kekal dengan sasaran tiga hingga lima pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan namun semua itu bergantung kepada syarat baru temasya berkenaan.

"Sekiranya tiada sebarang perubahan berhubung syarat penyertaan yang mana atlet yang sudah berdaftar untuk SUKMA Johor dibenarkan bertanding pada SUKMA akan datang, Perak akan kekal dengan sasaran tiga hingga lima pingat.

"Tapi jika sebaliknya sasaran itu mungkin ada sedikit perubahan," katanya.

Antara atlet yang berpotensi menghadiahkan emas adalah pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dalam acara 100 meter (m), Nurul Ashikin Abad (lompat kijang) dan Ngu Jia Xin (lompat tinggi).

Terdahulu Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan jawatankuasa tertinggi SUKMA bersetuju penganjuran SUKMA 2022 oleh Johor ditangguhkan kepada 2024.

Bagaimanapun SUKMA 2022 dan Sukan Para SUKMA 2022 akan tetap dilangsungkan di bawah pengelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur yang mana tarikh penganjurannya masih belum diputuskan.

Berita Harian X