Isnin, 22 November 2021 | 6:31pm
Datuk SM Muthu (tengah) selepas membuat laporan laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung isu pemecatannya sebagai presiden POS pada 25 Oktober lalu. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Datuk SM Muthu (tengah) selepas membuat laporan laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung isu pemecatannya sebagai presiden POS pada 25 Oktober lalu. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

POS pecat Muthu buat kali kedua

KUALA LUMPUR: Persatuan Olahraga Selangor (POS) sekali lagi membuat keputusan memecat presiden badan induk itu, Datuk SM Muthu.

Keputusan terbaru itu hadir selepas Jawatankuasa Induk POS melalui Jawatankuasa Kecil Tatatertib yang ditubuhkan berlandaskan perlembagaan badan induk itu sebulat suara menyokong usul berkenaan.

Muthu yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) didapati bersalah melakukan penyelewengan wang POS seperti tersenarai dalam surat tunjuk sebab yang dihantar kepada beliau bertarikh 16 November lalu.

Penolong Setiausaha Kehormat POS, N Rajagopal dalam satu kenyataan memaklumkan, Muthu bagaimanapun tidak memberikan sebarang jawapan malah beliau turut tidak hadir ke mesyuarat jawatankuasa tatatertib berkenaan bagi membela diri.

"Mesyuarat jawatankuasa tatatertib mendapati bahawa beliau (Muthu) bersalah ke atas tuduhan terhadap beliau.

"Beliau diberi tempoh 14 hari untuk merayu sebelum atau pada 3 Disember mengikut Fasal 13.6 perlembagaan POS sebelum jawatankuasa membuat keputusan muktamad di bawah Fasal 13.7 perlembagaan POS .

"Saya juga ingin mengesahkan bahawa Muthu tidak lagi memegang jawatan sebagai presiden POS berpandukan keputusan jawatankuasa tatatertib berkenaan dan beliau tidak dibenarkan campur tangan dalam segala urusan POS berkuat kuasa serta merta," katanya.

Selain Muthu, turut dipecat daripada memegang sebarang jawatan dalam POS adalah bekas bendahari, Mohd Fauzi Manivannan Abdullah dan bekas setiausaha, Abdul Rahim Mohd Noor.

Pada 24 Oktober lalu, POS menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan menyingkirkan Muthu daripada jawatan presiden persatuan itu dan menarik balik keahlian seumur hidupnya berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap badan induk berkenaan.

Bagaimanapun, Muthu tampil mendakwa bahawa beliau masih lagi sah sebagai presiden POS berikutan EGM yang dilakukan itu adalah tidak sah seperti termaktub dalam perlembagaan POS selepas mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof.

Berita Harian X