Jumaat, 30 Julai 2021 | 10:34pm
Fraser-Pryce (tengah) ketika beraksi dalam acara saringan 100 meter wanita, hari ini.
Fraser-Pryce (tengah) ketika beraksi dalam acara saringan 100 meter wanita, hari ini.

OLIMPIK: Fraser-Pryce hanya joging 20 meter terakhir

TOKYO: Shelly-Ann Fraser-Pryce bermula baik dalam misinya untuk menjadi pemenang pingat emas tertua bagi acara 100 meter (m) dalam sejarah Sukan Olimpik.

Ratu pecut Jamaica berusia 34 tahun itu memenangi peringkat saringan dengan catatan 10.84 saat (s) namun hanya berjoging dalam 20 meter terakhirnya, hari ini.

Itu sudah cukup untuk dia layak ke pusingan seterusnya dengan catatan masa ketiga terpantas di belakang atlet dari Ivory Coast, Marie-Josee Ta Lou (10.78s) dan juara bertahan, Elaine Thompson-Herah (10.82s).

Fraser-Pryce adalah wanita terpantas pada tahun ini bagi acara 100m apabila mencatat 10.63s pada aksi di Kingston untuk menjadi wanita kedua terpantas dalam sejarah.

Hanya juara Olimpik 1988 dan pemenang rekod dunia, Florence Griffith Joyner pernah berlari lebih pantas daripada Fraser-Pryce.

Juara 100m pada Olimpik 2008 dan 2012 itu percaya kebangkitannya pada tahun ini dibantu dengan rehat panjang yang diambilnya selepas melahirkan anak lelakinya pada 2017.

"Bercuti hampir setahun dengan anak saya menghidupkan kembali motivasi saya. Apa yang mahu saya capai - catatan 10.6s itu adalah salah satu cabaran yang mahu saya atasi.

"Saya rasa mungkin bagus saya tidak dapat mencatatnya pada awal karier saya kerana siapa tahu, saya tidak akan berada di sini jika berjaya mencapainya lebih awal.

"Namun, Fraser-Pryce mengakui dia tidak menjangka dapat berlari dengan begitu pantas pada 2021.

"Saya fokus kepada beberapa aspek pada sesi latihan khususnya pada teknik kerana itu perkara paling sukar.

"Saya tahu saya berada dalam keadaan yang baik tetapi saya tidak jangka dapat berlari 10.6s dengan terlalu pada musim ini," tambahnya. -AFP

Berita Harian X