Jumaat, 4 Jun 2021 | 9:39pm
Gambar fail - Atlet lompat kijang negara, Muhamad Hakimi Ismail.
Gambar fail - Atlet lompat kijang negara, Muhamad Hakimi Ismail.

Hakimi belum pasti ke Kazakhstan

KUALA LUMPUR: Atlet lompat kijang negara, Muhamad Hakimi Ismail masih belum pasti dapat beraksi pada Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan yang dijadualkan pada 19 dan 20 Jun ini.

Pemegang pingat emas Sukan SEA tiga kali itu berkata dia perlu terlebih dahulu mendapat pandangan doktor selepas kecederaan lama di bahagian kaki kembali menghantui dirinya baru-baru ini.

"Kecederaan ini sekejap dia datang dan sekejap dia hilang. Jadi, ini sedikit menggangu sesi latihan dan prestasi saya.

"Saya sedang menjalani rawatan dengan ISN (Institut Sukan Negara) ketika ini dan sekiranya rasa sakit sudah hilang dalam tempoh tiga atau empat hari ini dan saya boleh berlatih seperti biasa, mungkin saya akan pergi ke Kazakhstan.

"Namun, sekiranya tidak, tiada gunanya saya pergi. Apa pun, saya akan dapatkan pandangan doktor, KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Negara) sebelum buat keputusan untuk pergi atau tidak," kata pemegang rekod kebangsaan itu.

KOM sebelum ini memaklumkan akan menghantar 11 atlet negara ke Kazakhstan bagi memberi peluang kepada mereka untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bulan depan dan Sukan SEA Vietnam, November ini.

Ini selepas saingan Terbuka Malaysia yang dijadual pada 11 hingga 13 Jun terpaksa ditunda susulan peningkatan kes COVID-19.

Selain Hakimi, atlet lain yang disenarai ke Kezakhstan ialah jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa (100 meter lelaki).

Seorang lagi atlet pecut, Khairul Hafiz Jantan akan turut menyertai kejohanan berkenaan tetapi beraksi dalam acara 200m selain Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Connie Chu Kang Ni (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).

Berita Harian X