Selasa, 1 Jun 2021 | 8:56pm
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.

KOM tunggu lampu hijau dari KBS, MSN

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kekal dengan perancangan menghantar atlet menyertai Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Kazakhstan yang dijadualkan pada 19 dan 20 Jun ini, biarpun negara ketika ini berdepan sekatan pergerakan penuh.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu, berkata pihaknya ketika ini hanya menunggu lampu hijau daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi atlet menyertai kejohanan di Almaty itu.

Katanya, penyertaan dalam kejohanan itu sangat penting buat atlet dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, bulan depan selain sebahagian persiapan bagi menghadapi Sukan SEA Vietnam 2021, November ini.

"Kejohanan kompetitif penting dalam mengekalkan momentum atlet berikutan seperti sedia maklum sebelum ini mereka terpaksa berehat dalam tempoh lama daripada menyertai sebarang pertandingan.

"Pada masa sekarang, pelan menghantar atlet menyertai kejohanan di Kazakhstan masih mengikut perancangan dan segala perubahan akan dimaklumkan nanti," katanya.

KOM sebelum ini memaklumkan akan menghantar 11 atlet negara ke Kazakhstan bagi memberi peluang kepada mereka memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan SEA Vietnam.

Ini selepas saingan Terbuka Malaysia yang dijadual pada 11 hingga 13 Jun terpaksa ditunda susulan peningkatan kes COVID-19.

Cabaran skuad olahraga di Almaty nanti akan diketuai jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei selain Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa (100 meter lelaki).

Seorang lagi atlet pecut, Khairul Hafiz Jantan turut menyertai kejohanan berkenaan tetapi beraksi dalam acara 200m selain Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Connie Chu Kang Ni (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).

Berita Harian X