Rabu, 12 Mei 2021 | 6:48pm
Hup Wei antara atlet yang beraksi di Kazakhstan.
Hup Wei antara atlet yang beraksi di Kazakhstan.

KOM hantar atlet ke Kazakhstan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan menghantar 11 atlet untuk beraksi pada Kejuaraan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan yang akan berlangsung pada 19 hingga 20 Jun ini.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu berkata, langkah itu adalah bagi memberi peluang kepada atlet utama untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan SEA Hanoi selepas saingan Terbuka Malaysia yang dijadual pada 11 hingga 13 Jun terpaksa ditunda susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

"Perkara ini sudah pun dibincangkan dengan MSN (Majlis Sukan Negara). Atlet semua akan mengikut setiap SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sebelum berlepas dan sebaik pulang ke negara.

"Atlet yang dipilih ini adalah atlet yang berpotensi untuk layak ke Sukan Olimpik, atlet yang memenangi pingat emas Sukan SEA Manila (2019) dan atlet yang mencipta rekod kebangsaan.

"Jadi, saya harap mereka manfaatkan sepenuhnya peluang ini dan buat yang terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik dan Sukan SEA," katanya.

Cabaran skuad olahraga di Almaty nanti akan diketuai jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei selain Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa (100 meter lelaki).

Seorang lagi atlet pecut, Khairul Hafiz Jantan turut akan menyertai kejohanan berkenaan tetapi beraksi dalam acara 200m selain Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Connie Chu Kang Ni (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).

Muthu berkata, seorang lagi atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh yang kini berpangkalan di Jerman turut diberi peluang untuk bertanding dalam kejohanan itu tetapi dia menolaknya kerana mahu bertanding di Eropah.

Berita Harian X