X
Khamis, 18 March 2021 | 9:10pm
Haiqal antara penyumbang pingat emas di Sukan SEA Filipina 2019.
Haiqal antara penyumbang pingat emas di Sukan SEA Filipina 2019.

KOM sasar 5 emas di Vietnam

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) optimis atlet negara mampu untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Filipina dengan memenangi lima pingat emas pada Sukan SEA 2021 di Vietnam, November depan.

Malah, Presiden KOM, Datuk SM Muthu percaya bukan sesuatu yang mustahil sekiranya skuad olahraga membawa pulang lebih daripada lima emas dari Vietnam.

"Keadaan sekarang ini memang sedikit sukar buat atlet. Ada perancangan untuk menghantar atlet berpotensi ke luar negara namun terdapat kekangan disebabkan pandemik COVID-19.

"Jika bercakap mengenai sasaran, saya letakkan minimum lima dan maksimum lapan emas," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Sukan SEA 2021 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Muthu berkata, KOM menyenaraikan 122 atlet terdiri daripada 65 lelaki dan 57 wanita dalam senarai panjang sebelum ia dimuktamadkan pada Ogos depan.

Turut disenaraikan adalah pemenang pingat perak 100 meter (m) wanita Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Zaidatul Husniah Zulkifli biarpun dia masih belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan ligamen lutut ACL (Anterior Cruciate Ligament) pada Jun tahun lalu.

Muthu yakin pelari berasal dari Kedah itu mempunyai tempoh yang cukup untuk pulih dan kembali memberi saingan.

Pada temasya dua tahun di Filipina, skuad olahraga menyumbang lima emas, lapan perak dan lapan gangsa buat kontinjen negara.

Emas disumbangkan atlet pecut, Muhammad Haiqal Hanafi dalam acara 100m, Lee Hup Wei (lompat tinggi), Hakimi Ismail (lompat kijang), Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita).

Berita Harian X