Rabu, 11 Disember 2019 | 7:11pm
MUHAMMAD Haiqal Hanafi. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
MUHAMMAD Haiqal Hanafi. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Haiqal wajar dinobat atlet terbaik Malaysia di Filipina

CLARK: Pelari pecut, Muhammad Haiqal Hanafi harus dinobat sebagai atlet terbaik kontinjen Malaysia di Sukan SEA Filipina 2019.

Pendapat itu dinyatakan Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang jelas kagum dengan semangat juang atlet berusia 20 tahun dari Negeri Sembilan itu yang pada awalnya tidak diletakkan sebarang harapan.

"Pastinya Haiqal, pada awalnya tiada seorangpun memberi harapan kepadanya, datang di bawah tiket kategori B tanpa sebarang sasaran dan pada akhirnya muncul raja pecut Asia Tenggara.

"Tidak kisah apa jua pandangan seperti kemenangan dia disebabkan penyertaan pelari tuan rumah Eric Shauwn Cray dibatalkan, pada saya itu tidak penting kerana pada akhirnya dia menang," katanya.

Menariknya, Haiqal dibawa masuk hanya seminggu sebelum temasya bermula bagi menggantikan Zulfiqar Ismail yang mengalami kecederaan paha.

Malah, dia muncul sandaran kedua terbaik di belakang seorang lagi rakan seangkatan Jonathan Nyepa yang juga harapan utama bagi temasya edisi ke-30 ini.

Kejayaan sensasi itu menyaksikan dia pulang dengan pingat emas pada penampilan sulungnya dalam acara individu di temasya terbesar Asia Tenggara ini, sekali gus yang terbesar sepanjang kariernya.

Berita Harian X