X
Sabtu, 5 Ogos 2017 | 3:34pm
ATLET Malaysia, Khairul Hafiz Jantan (tiga kiri) menandatangani plak sebagai simbolik duta baru produk 100 Plus sambil diperhatikan Pengerusi Fraser & Neave Holdings Bhd, Tengku Syed Badarudin Jamalullail (kanan) pada Majlis Larian Obor Kuala Lumpur 2017 Sukan Sea Ke 29 di perkarangan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

KL2017: Khairul Hafiz duta baharu 100Plus

SHAH ALAM: Pemegang tiga rekod kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan terus menerima suntikan semangat menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pertengahan bulan ini apabila diangkat selaku duta jenama 100PLUS.

Atlet berusia 19 tahun itu diberikan kontrak selama dua tahun dan menjadi atlet olahraga negara pertama diberi kepercayaan membawa nama produk terbabit selepas ia sering kali didominasi sukan badminton dan bola sepak sebelumnya.

Pengumuman mengenai pelantikan itu diadakan di ibu pejabat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd di Kampung Baru Hicom, selepas tamat Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di sini, sebentar tadi.

Khairul Hafiz yang diberi jolokan 'The Speedy Jantan' ketika ditemui berkata pengiktirafan itu memberikan semangat buatnya untuk memberikan aksi terbaik menjelang KL2017 yang kini hanya berbaki 13 hari saja lagi sebelum dibuka secara gilang gemilang pada 19 Ogos ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Syukur Alhamdulillah atas rezeki ini dan tak lupa juga kepada jurulatih, Mohd Poad Md Kassim, keluarga serta rakan-rakan yang terus memberikan sokongan kepada saya.

DUTA 100 Plus, Khairul Hafiz Jantan (empat kiri) bersama Pengerusi Fraser & Neave Holdings Bhd, Tengku Syed Badarudin Jamalullail (tiga kanan), Pengurus Pemasaran 100 Plus, Leong Wai Yin (dua kanan) pada Majlis Larian Obor Kuala Lumpur 2017 Sukan Sea Ke 29 di perkarangan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

"Terima kasih diucapkan kepada 100PLUS kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk menaikkan nama produk mereka dan saya harap dapat memberikan yang terbaik untuk Sukan SEA nanti," kata pemegang rekod kebangsaan acara individu 100 meter (m) dan 200m serta berpasukan 4x100m.

Sementara itu Pengurus Pemasaran 100PLUS, Leong Wai Yin ketika ditemui berkata 100PLUS mengangkat Khairul Hafiz selaku duta produk berkenaan kerana melihat pencapaian atlet muda itu yang memuaskan sejak kebelakangan ini, sekali gus yakin dia mampu menjadi kebanggaan negara.

"Kami membuat perjanjian bersamanya selama dua tahun dan ia dilakukan sebelum Sukan SEA kerana kita mempunyai harapan agar Khairul muncul sebagai juara dalam tiga acara iaitu 100m, 200m dan 4x100m," katanya.

Wai Yin turut mengakui 100 PLUS selaku penaja perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berbangga kerana dapat menjemput Khairul Hafiz memeriahkan larian itu.

Berita Harian X