Isnin, 10 Jun 2024 | 9:28am
Pemandu Red Bull, Max Verstappen menjulang trofi kejuaraan di podium selepas memenangi perlumbaan Grand Prix Formula Satu Kanada di Litar Gilles-Villeneuve, Montreal awal pagi tadi. – Foto AFP
Pemandu Red Bull, Max Verstappen menjulang trofi kejuaraan di podium selepas memenangi perlumbaan Grand Prix Formula Satu Kanada di Litar Gilles-Villeneuve, Montreal awal pagi tadi. – Foto AFP

Verstappen ungguli Litar Gilles Villeneuve

MONTREAL: Max Verstappen berjaya mengendurkan tekanan apabila dia melengkapkan kemenangan hatrik pada Grand Prix Kanada awal pagi tadi untuk melebarkan pendahuluan awal musim dalam kejuaraan pemandu.

Selepas kalah dalam dua daripada tiga perlumbaan terakhir, pendahulu kejuaraan yang juga juara dunia tiga kali bangkit ke tahap kompetitif terbaiknya dengan bantuan pasukannya dalam perlumbaan taktikal itu, untuk menang 3.879 saat di depan pemandu McLaren, Lando Norris.

Pelumba Mercedes, George Russell, yang bermula dari petak utama, berakhir di tangga ketiga di depan rakan sepasukan yang kecewa Lewis Hamilton, juara dunia tujuh kali.

Verstappen merangkul kemenangan ketiga berturut-turut di Litar Gilles Villeneuve dan kemenangan ke-60 kariernya, sesudah bermula dari petak kedua dan beberapa kali pemandu itu bertuah dalam perlumbaan dramatik menampilkan kereta keselamatan sebanyak dua kali.

"Ia satu perlumbaan yang gila dan banyak perkara berlaku," kata Verstappen.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen berlumba di atas litar basah pada perlumbaan Grand Prix Formula Satu Kanada di Litar Gilles-Villeneuve, Montreal awal pagi tadi. – Foto AFP
Pemandu Red Bull, Max Verstappen berlumba di atas litar basah pada perlumbaan Grand Prix Formula Satu Kanada di Litar Gilles-Villeneuve, Montreal awal pagi tadi. – Foto AFP

"Kami berjaya melakar kemenangan kerana beberapa keputusan tepat dan sebagai pasukan kami benar-benar bertindak cemerlang hari ini. Kami tetap tenang dan memasuki pit pada masa yang tepat."

Dengan kedua-dua jentera Ferrari gagal menamatkan perlumbaan - hanya dua minggu selepas Charles Leclerc meraih kemenangan bersejarah pada Grand Prix Monaco - kejayaan Verstappen melonjakkannya 56 mata di depan pemandu Monegasque itu dalam perebutan kejuaraan.

"Kereta keselamatan banyak membantu kami kali ini," katanya, merujuk kepada Grand Prix Miami yang mana dia hilang kelebihan, membolehkan Norris meraih kemenangan sulungnya. "Malah selepas itu kami berjaya menangani jurang masa dengan agak baik.

"Saya sukakannya. Banyak keseronokan di sini. Perlumbaan sebegini anda perlukan sekali-sekala. Paling penting adalah kami menang. Masalah suspensi bukanlah isu utama."

Kemenangan Verstappen menyaksikannya mengumpul 194 mata dalam kejuaraan pemandu di depan Leclerc dengan 138 manakala Norris 131.

Dalam kejuaraan pengeluar, Red Bull, yang mengharungi musim bermasalah di bawah tahap sebenar mereka, melonjak 301 mata di depan Ferrari dengan 252. – AFP

Berita Harian X