Ahad, 26 Mei 2024 | 1:41pm
Pemandu Ferrari, Charles Leclerc (kanan) meraikan kejayaannya memenangi petak utama perlumbaan Grand Prix Formula Satu Monaco di Litar Monaco, malam tadi. – Foto AFP
Pemandu Ferrari, Charles Leclerc (kanan) meraikan kejayaannya memenangi petak utama perlumbaan Grand Prix Formula Satu Monaco di Litar Monaco, malam tadi. – Foto AFP

Leclerc intai kemenangan sulung GP Monaco

MONACO: Charles Leclerc kekal tenang dan fokus semalam selepas menamatkan catatan rekod Max Verstappen memenangi petak utama apabila mengungguli sesi kelayakan yang dramatik dan tegang pada perlumbaan Grand Prix Monaco.

Selepas meraih petak utama ke-250 Ferrari dalam kejohanan Formula Satu dan ketiga di litar halaman sendiri, pemandu berusia 26 tahun itu berkata dia baru sedar belum lagi meraih sebarang podium di Monte Carlo – dan bersemangat untuk memenangi perlumbaan 78 pusingan malam ini.

"Saya amat sedar layak di petak utama bukan segala-galanya, tetapi ia banyak membantu bagi perlumbaan malam esok dan kami perlu menyusun strategi terbaik," katanya. "Dalam beberapa tahun ini, kami gagal melakukannya.

"Tetapi kini kami satu pasukan yang kuat dan di kedudukan kuat jadi saya yakin kami boleh meraih perkara hebat esok dan kemenangan adalah sasarannya.

"Saya perlukan permulaan bagus dari grid dan sejurus kami melakukannya – dan harapnya Carlos (Sainz) boleh bermula hebat serta mengekori saya di selekoh pertama dan kedudukan 1-2 – kami boleh melakukannya sebagai satu pasukan.

"Ia pasti satu senario sempurna. Apa pun yang berlaku, kami hanya perlu meraih kemenangan itu."

Leclerc, yang gagal dalam usahanya mengubah kejayaan memenangi 12 petak utama terakhir dengan muncul juara, mencatat masa terpantas satu minit 10.270 saat untuk mengatasi pencabar terdekat Oscar Piastri dari McLaren dengan perbezaan 0.154s.

Ia menamatkan catatan tujuh petak utama berturut-turut Verstappen tahun ini selain menyamai rekod lapan berturut-turut, dikongsinya bersama juara dunia tiga kali Ayrton Senna. – AFP

Berita Harian X