Isnin, 13 Mei 2024 | 6:25pm
Hakim Danish (kiri) menduduki tempat ketiga pada Perlumbaan 2 di Litar Le Mans, Perancis. - Foto ZK Racing
Hakim Danish (kiri) menduduki tempat ketiga pada Perlumbaan 2 di Litar Le Mans, Perancis. - Foto ZK Racing

Hakim Danish buktikan kemampuan sebagai pencabar utama

KUALA LUMPUR: Pelumba sedang meningkat naik, Hakim Danish Ramli membuktikan dirinya harus dilihat sebagai pencabar digeruni di Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024.

Kelmarin, pelumba berusia 17 tahun itu berjaya menaiki podium untuk kali kedua bagi musim ini selepas menduduki tempat ketiga pada Perlumbaan 2 di Litar Le Mans, Perancis yang menjadi venue Pusingan 2 dalam kalendar kejuaraan 2024.

Hakim Danish jelas berada dalam kelas tersendiri apabila pada dua minggu lalu, berjaya menamatkan Perlumbaan 2 yang berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol di tempat kedua selepas mempamerkan saingan sengit bersama pemenang dari Sepanyol, Alvaro Carpe di garisan penamat.

Dengan dua penamat di podium itu, Hakim terus kekal berada di kedudukan kelima keseluruhan dengan 53 mata, ketinggalan 21 mata di belakang pendahulu dari Sepanyol, Maximo Quiles.

Carpe pula berada di tangga kedua dengan 65 mata manakala Brian Uriarte di tempat ketiga, 62 mata dan Valentin Perrone keempat, 55 mata.

"Pada perlumbaan (Perlumbaan 2), saya dapat memulakan saingan dengan baik dan kekal bersama kelompok hadapan serta mendahului beberapa pusingan. Di pusingan terakhir, saya cuba mencari kemenangan tetapi dipintas oleh dua pelumba yang bersaing di tempat keempat.

"Saya hanya sempat memintas seorang pelumba sahaja dan berjaya tempatkan diri di podium," kata Hakim Danish sehari sebelum itu menamatkan Perlumbaan 1 di tempat keenam.

Saingan musim selepas ini dijadual berlangsung di Mugello, Itali dari 1 hingga 2 Jun dan bagi Hakim Danish, dia menetapkan sasaran untuk memburu prestasi yang lebih baik.

"Untuk pusingan seterusnya yang akan datang di Mugello, saya akan buat lebih baik dari hari ini," katanya.

Berita Harian X