Isnin, 13 Mei 2024 | 12:31pm
Penunggang Prima Pramac Racing dari Sepanyol, Jorge Martin bersaing pada perlumbaan Grand Prix MotoGP Perancis di litar Bugatti di Le Mans semalam. – Foto AFP
Penunggang Prima Pramac Racing dari Sepanyol, Jorge Martin bersaing pada perlumbaan Grand Prix MotoGP Perancis di litar Bugatti di Le Mans semalam. – Foto AFP

Martin lebar penguasaan kejuaraan dunia

LE MANS, Perancis: Jorge Martin meraih "hujung minggu sempurna" dan melebarkan penguasaannya dalam kejuaraan dunia dengan kemenangan mendebarkan pada MotoGP Perancis di Le Mans malam tadi.

Penunggang Sepanyol itu, yang memenangi acara pecut kelmarin, bertarung sepanjang perlumbaan dengan musuh terdekat Francesco Bagnaia sebelum Marc Marquez, yang bermula dari petak ke-13 grid, melakukan pecutan lewat untuk merampas tangga kedua.

Martin, pelumba Pramac Ducati, mendahului kejuaraan dunia dengan 129 mata, 38 mata di depan Bagnaia yang melonjak ke tangga kedua keseluruhan. Marquez di tangga ketiga dua mata di belakangnya.

"Tidak banyak yang boleh saya perkatakan hari ini," kata Martin.

"Saya mempunyai banyak keraguan pada permulaan perlumbaan tetapi akhirnya saya membuktikan kepada diri sendiri dan semua anda memerlukan sesuatu yang lain untuk membuktikan saya adalah yang terbaik hari ini.

Jorge Martin megah bersama trofi kejuaraan Grand Prix MotoGP Perancis di Le Mans, semalam. – Foto AFP
Jorge Martin megah bersama trofi kejuaraan Grand Prix MotoGP Perancis di Le Mans, semalam. – Foto AFP

"Jadi saya benar-benar gembira. Terima kasih kepada pasukan saya kerana selepas beberapa kemalangan mereka membaiki jentera saya. Jentera amat sempurna.

"Berakhir di tangga pertama dua kali di sini di Le Mans saya fikir adalah yang terbaik dan hujung minggu yang sempurna."

Martin, pemenang musim ini di Portugal, tidak bermula dengan baik dari petak utama apabila kehilangan tangga pertama di tangan Bagnaia pada pusingan pembukaan. – AFP

Berita Harian X