Jumaat, 10 Mei 2024 | 5:43pm
Hakim Danish akan beraksi di Perancis minggu ini. - Foto ihsan ZK Racing
Hakim Danish akan beraksi di Perancis minggu ini. - Foto ihsan ZK Racing

Hakim Danish sasar podium di Le Mans

KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli dijadual mengharungi minggu perlumbaan keempat berturut-turutnya dengan kali ini menyertai Pusingan 2 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 di Litar Le Mans, Perancis, hujung minggu ini.

Hakim Danish memulakan kempen perlumbaannya bagi musim ini di Pusingan 1 Kejuaraan Dunia JuniorGP pada 21 April lalu di Litar Misano, Itali sebelum 'terbang' ke Litar Jerez, Sepanyol seminggu selepas itu untuk mengharungi perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup.

Pelumba berusia 17 tahun itu kemudian berlepas ke Litar Estoril, Portugal untuk mengharungi Pusingan 2 Kejuaraan Dunia JuniorGP pada minggu lalu dan minggu ini, Hakim Danish akan kembali beraksi untuk Pusingan 2 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup di Perancis.

Litar Le Mans nyata bukan asing buat Hakim Danish yang pada musim pertamanya dalam saingan Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup tahun lalu menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kesembilan.

Namun, dia tidak berjaya menamatkan Perlumbaan 2 dengan baik apabila terjatuh dan tidak menamatkan saingan.

"Ini minggu keempat saya berlumba secara berturut-turut," kata Hakim Danish. "Ini juga kali kedua saya berlumba di litar Le Mans selepas tahun lalu menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kesembilan sebelum terjatuh di Perlumbaan 2.

"Untuk tahun ini, sasaran saya adalah untuk bersaing dengan kelompok hadapan dan berharap untuk berada di podium lagi dalam kedua-dua perlumbaan."

Pada Pusingan 1 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup di Jerez, Hakim Danish berjaya menamatkan Perlumbaan 2 di tempat kedua selepas bersaing sengit dengan pemenang dari Sepanyol, Alvaro Carpe di garisan penamat.

Hakim Danish pada ketika ini menduduki tempat kelima dalam senarai pelumba keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup dengan mengumpul 27 mata selepas turut menamatkan Perlumbaan 1 di Jerez di tempat kesembilan.

Berita Harian X