Isnin, 6 Mei 2024 | 11:34am
Pemandu McLaren, Lando Norris menjulang trofi Grand Prix Miami di Miami International Autodrome. - Foto REUTERS
Pemandu McLaren, Lando Norris menjulang trofi Grand Prix Miami di Miami International Autodrome. - Foto REUTERS

Norris ungguli Grand Prix Miami

MIAMI GARDENS, Amerika Syarikat: Pemandu McLaren, Lando Norris memenangi perlumbaan Formula Satu sulung dalam kariernya selepas mengejutkan juara dunia, Max Verstappen di Grand Prix Miami semalam.

Ketika musim F1 bakal didominasi oleh hanya seorang pelumba sekali lagi, Norris, dalam perlumbaan ke-110nya untuk McLaren, menewaskan Verstappen dengan kelebihan tujuh saat, manakala Charles Leclerc dari Ferrari di tempat ketiga.

Verstappen, yang bermula dari petak utama, memenangi empat daripada lima perlumbaan pertama musim ini dan mendahului kejuaraan pemandu.

Ia kelihatan seperti kemenangan rutin buat pemandu dari Belanda itu, yang memenangi dua perlumbaan terakhir di Miami, apabila mendahului perlumbaan sehingga pusingan ke-24 tetapi dipintas Norris dan rakan sepasukan McLaren, Oscar Piastri selepas Verstappen melakukan hentian pit.

Pemandu Australia, Piastri turut memasuki pit selepas empat pusingan kemudian, membolehkan Norris mendahului perlumbaan sehingga ke garis penamat.

Norris membuat hentian pit ketika kereta keselamatan memasuki perlumbaan pada pusingan ke-30 selepas Kevin Magnussen melanggar Logan Sargeant.

Norris mempunyai 15 penamat podium sebelum merakam kemenangan pertamanya dalam perlumbaan F1.

Ini adalah kali pertama Verstappen tewas di atas litar, ketika menamatkan perlumbaan, sejak kali terakhir ditewaskan oleh pemandu Ferrari, Carlos Sainz di Singapura pada September tahun lalu.

"Dah tiba masanya ya? Saya tahu sejak Jumaat lagi yang kami mempunyai kelajuan... hari ini kami berjaya menyempurnakannya. Kami mempunyai strategi sempurna, ia membuahkan hasil," kata Norris.

Gandingan Mercedes, Lewis Hamilton dan George Russel menamatkan perlumbaan di tempat keenam dan kelapan. - REUTERS

Berita Harian X