Sabtu, 4 Mei 2024 | 9:14am
Pemandu Red Bull Racing, Max Verstappen ketika sesi latihan Grand Prix Miami di Autodrome Antarabangsa Miami pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemandu Red Bull Racing, Max Verstappen ketika sesi latihan Grand Prix Miami di Autodrome Antarabangsa Miami pagi tadi. – Foto REUTERS

Verstappen sambar petak utama acara pecut

MIAMI GARDENS, Amerika Syarikat: Juara dunia Max Verstappen merampas petak utama bagi perlumbaan pecut pada Grand Prix Miami pagi esok namun jauh daripada gembira dengan prestasi tayar jenteranya.

Verstappen berakhir 0.108 saat di depan pemandu Ferrari, Charles Leclerc dengan rakan sepasukannya di Red Bull, Sergio Perez ketiga.

"Secara jujurnya, saya berasa agak teruk. Mungkin sesi terakhir itu, tayar saya terlalu sukar untuk ditangani. Saya tidak banyak meningkat dengan tayar lembut tetapi saya menerimanya," kata pelumba dari Belanda itu, yang turut muncul pemandu terpantas pada sesi latihan sebelum itu.

"Saya berasa tidak seronok memandu - sesi latihan amat selesa, saya agak yakin boleh merebut petak utama. Tetapi ketika sesi kelayakan ia tidak begitu menyenangkan buat saya - saya tidak tahu apa yang berlaku kepada kereta lain pada pusingan terakhir itu," katanya.

Semua pemandu memilih untuk mencatat masa terpantas dalam satu pusingan ketika SQ3 dengan Verstappen mencatat masa 1:27.641s.

Pemandu Australia, Daniel Ricciardo bertindak baik ketika sesi kelayakan apabila muncul keempat terpantas dengan jentera RB di depan pelumba Ferrari, Carlos Sainz.

"Saya tahu saya boleh melakukannya - tetapi adakah saya jangka untuk bermula di barisan kedua? Mungkin tidak terlalu bagus," kata Ricciardo.

McLaren mengancam pada awal sesi kelayakan tetapi gagal menggunakan sepenuhnya tayar lembut pada SQ3 dengan Oscar Piastri di tangga keenam manakala Lando Norris akan bermula dari P9.

Perlumbaan pecut akan diadakan pagi esok menjelang sesi kelayakan bagi perlumbaan utama pagi Isnin ini. – AFP

Berita Harian X