Selasa, 30 April 2024 | 7:46pm
Hakim Danish (kanan) hanya perlu lepasi syarat ditetapkan SIC untuk berlumba di Kejuaraan Motosikal Dunia.
Hakim Danish (kanan) hanya perlu lepasi syarat ditetapkan SIC untuk berlumba di Kejuaraan Motosikal Dunia.

'Syarat' Hakim Danish berlumba di Kejuaraan Motosikal Dunia

KUALA LUMPUR: Pelumba muda sedang meningkat naik, Hakim Danish Ramli berpeluang untuk membuat penampilan sulungnya di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia seawal tahun ini.

Pelumba berusia 17 tahun itu hanya perlu melepasi 'syarat' diletakkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan pasukan dinaunginya, ZK Racing iaitu menunjukkan prestasi positif di dua kejuaraan disertainya musim ini iaitu di Kejuaraan Dunia JuniorGP dan juga Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, pihaknya bersedia untuk menawarkan slot wild card buat Hakim Danish bersaing dalam salah satu pusingan di Kejuaraan Motosikal Dunia termasuk di Sepang dari 1 hingga 3 November ini.

"Kalau tahun ini ada peluang, kita akan sediakan dia slot untuk wild card. Itupun sekiranya ada bajet lebih, kalau berpeluang, prestasinya bagus dan kita akan bawa dia ke Kejuaraan Motosikal Dunia.

"InsyaAllah di Malaysia tetapi kalau ada (peluang) di tempat lain, kita juga akan minta Zulfahmi Khairuddin (Pengurus Pasukan ZK Racing) untuk melihat ke arah itu," kata Shafriman.

Hakim Danish memulakan kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 dengan menamatkan dua perlumbaan di Pusingan 1 yang berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol, minggu lalu masing-masing di tempat kesembilan dan kedua.

Pelumba berasal dari Terengganu itu turut berjaya menamatkan dua perlumbaan Pusingan 1 di Kejuaraan Dunia JuniorGP di Litar Misano, Itali dalam kelompok 15 terbaik, masing-masing di tempat kesembilan dan ke-15, dua minggu lalu.

"Dari segi perjalanan Hakim Danish, di tahun pertama (di Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup), prestasinya tak konsisten tetapi berdasarkan pengalaman yang kita miliki, mungkin pada tahun kedua atau ketiga, InsyaAllah dia akan cari posisi dan yang paling penting, dia tak jatuh.

"Harap dia lebih berhati-hati dan bijak menggunakan strategi untuk mencari jalan untuk mencapai kemenangan. Kalau dilihat, pelumba dari Sepanyol atau Itali, mereka sudah mempunyai pengalaman sebegitu. Jadi harap pada tahun ini, Hakim Danish lebih kuat berbanding tahun lalu," kata Shafriman.

Untuk Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish diletakkan sasaran menamatkan kempen dalam kelompok lima terbaik keseluruhan manakala di Kejuaraan Dunia JuniorGP, berada dalam kelompok 10 ataupun 15 terbaik.

Berita Harian X