Khamis, 25 April 2024 | 8:05pm
Hakim Danish akan menyertai pusingan pertama Red Bull MotoGP Rookies Cup di Jerez. - Foto FB Hakimdanish Ramlie.
Hakim Danish akan menyertai pusingan pertama Red Bull MotoGP Rookies Cup di Jerez. - Foto FB Hakimdanish Ramlie.

Hakim Danish sasar podium di Jerez

KUALA LUMPUR: Pelumba dua roda negara, Hakim Danish Ramli bakal memulakan kempen baharu Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup yang dijadual bermula esok di Litar Jerez, Sepanyol dengan menetapkan sasaran berada di pentas podium.

Hakim Danish, 17, yang memasuki tahun keduanya dalam saingan berprestij itu berkata, dia sudah bersedia untuk memberikan saingan meskipun sedar akan keupayaan pencabarnya.

"Pada hujung minggu ini adalah pusingan pertama Red Bull MotoGP Rookies Cup di Jerez. Harapan saya untuk pusingan di Jerez ini adalah untuk memberikan saingan dalam kelompok hadapan dan cuba mendapatkan penamat di podium.

"Saya tahu kejohanan ini agak kompetitif dan ramai pelumba yang laju. Apapun, saya akan cuba sehabis baik untuk tamatkan perlumbaan dengan baik selain cuba dapatkan penamat di podium," kata Hakim Danish.

Untuk rekod, pada musim lalu, Hakim Danish menamatkan kempen 2023 dengan 70 mata keseluruhan untuk berada di kedudukan ke-12 daripada 26 pelumba.

Pencapaian terbaiknya pada musim lalu adalah menamatkan Perlumbaan 2 di Pusingan 1 di Litar Algarve, Portugal dengan berada di tempat ketiga.

Minggu lalu, Hakim Danish menamatkan Pusingan 1 Kejuaraan Dunia JuniorGP di Litar Misano, Itali dengan positif apabila menemui garisan penamat di tempat kesembilan pada Perlumbaan 1 dan ke-15 di Perlumbaan 2.

Info

Kalendar Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024

Pusingan 1 - Litar Jerez, 27-28 April

Pusingan 2 - Litar Le Mans, 11-12 Mei

Pusingan 3 - Litar Mugello, 1-2 Jun

Pusingan 4 - Litar Assen, 29-30 Jun

Pusingan 5 - Litar Spielberg, 17-18 Ogos

Pusingan 6 - Litar Aragon, 31 Ogos-1 September

Pusingan 7 - Litar Misano, 7-8 September

Berita Harian X