Ahad, 21 April 2024 | 5:47pm
Pemandu Red Bull Max Verstappen meraikan kejayaanya di podium. - REUTERS
Pemandu Red Bull Max Verstappen meraikan kejayaanya di podium. - REUTERS

Verstappen rangkul kejuaraan sulung GP China

SHANGHAI: Juara dunia tiga kali, Max Verstappen memenangi Grand Prix (GP) China pertamanya dalam tempoh lima tahun dengan Lando Norris dari McLaren menduduki tempat kedua untuk menafikan kemenangan satu-dua Red Bull hari ini.

Kemenangan dari kedudukan petak utama di Litar Shanghai, yang kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2019, adalah kejayaan keempat Verstappen dalam lima perlumbaan Formula Satu (F1) tahun ini dan lebih manis kejayaan itu hadir selepas dia memenangi perlumbaan pecut pertama musim ini semalam.

Rakan sepasukan Sergio Perez, pesaing terdekat Verstappen dalam kejuaraan keseluruhan tetapi kini ketinggalan 25 mata, melengkapkan podium selepas perlumbaan berlangsung dalam keadaan litar kering dengan dua kali kereta keselamatan dibawa masuk.

Kru Red Bull Racing meraikan kejayaan Max Verstappen. - AFP
Kru Red Bull Racing meraikan kejayaan Max Verstappen. - AFP

Charles Leclerc dan Carlos Sainz dari Ferrari masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima, manakala pemandu Mercedes, George Russell meraih tempat keenam dan Fernando Alonso dari Aston Martin di tempat ketujuh dengan memperoleh mata bonus untuk pusingan terpantas. - REUTERS

Berita Harian X