Sabtu, 20 April 2024 | 8:05pm
Tunku Abu Bakar memandu jentera Mercedes Benz AMG GT3 Evo ketika Perlumbaan 1 pusingan pertama GT World Challenge Asia di Sepang. - Foto JMR
Tunku Abu Bakar memandu jentera Mercedes Benz AMG GT3 Evo ketika Perlumbaan 1 pusingan pertama GT World Challenge Asia di Sepang. - Foto JMR

Triple Eight JMR raih tempat ke-10 di Sepang

SEPANG: Keadaan cuaca yang tidak menentu membuatkan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim terpaksa akur apabila menamatkan Perlumbaan 1 pusingan pertama GT World Challenge Asia di kedudukan ke-10, hari ini.

Mewakili pasukan Triple Eight JMR, anakanda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim itu bersama gandingannya, Jordan Love mencatatkan masa 1 jam 02:42.390 saat (26 pusingan) pada perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Perlumbaan berkenaan bermula lewat daripada dijadualkan ekoran cuaca hujan.

"Keadaan litar sangat mencabar hari ini terutama apabila litar semakin kering sepanjang pemanduan saya. Ia sentiasa sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah.

"Kami akan fokus untuk perlumbaan seterusnya dan akan cuba untuk menghasilkan keputusan terbaik," kata Tunku Abu Bakar yang memandu jentera Mercedes Benz AMG GT3 Evo musim ini.

Tunku Abu Bakar dan Jordan berpeluang untuk menebus kekecewaan apabila akan kembali ke litar bagi mengharungi Perlumbaan 2, esok.

Sebagai rekod, Tunku Abu Bakar meraih tiga podium musim lalu sekali gus melonjakkannya ke tempat ketiga secara keseluruhan selepas memulakan musim lalu dengan cukup meyakinkan apabila memenangi Perlumbaan 1 pusingan pertama di Thailand.

Perlumbaan, hari ini diungguli pasukan FAW Audi Sport Asia Racing Team yang diwakili Cheng Congfu-Adderly Fong apabila menduduki tempat pertama dengan catatan 1:01:54.481s, mengatasi gandingan Bian Ye, Edoardo Liberati daripada pasukan VSR yang meraih kedudukan kedua (1:01:56.621s).

Tempat ketiga menjadi milik pasukan Origine Motorsport menerusi gandingan Bo Yuan-Leo Ye Hongli dengan catatan 1:01:58.877s.

Berita Harian X